Selangor optimis betapa ‘ayam tambatan’ baharunya, Rufino Segovia mampu menggegar kancah bola sepak tempatan sekali gus membantu The Red Giants terus bersaing dalam baki saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Keyakinan itu dilontarkan oleh pengendalinya, P Maniam yang melihat bekas penyerang Atletico Madrid itu tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan olehnya dengan menunjukkan peningkatan dalam dua aksi persahabatan yang diharungi sebelum ini.

“Saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Rufino setakat ini. Dia memiliki kualiti yang bagus dan memang menjadi satu tambahan yang baik kepada pasukan ini.

“Malah, persefahamannya bersama pemain di jentera serangan seperti Amri Yahyah, Andik Vermansah dan Francis forkey Doe juga sudah bertambah baik. Jadi saya mengharapkan dia dapat mengekalkan prestasi sebegini pada saingan sebenar nanti,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Penyerang berusia 32 tahun itu dibawa masuk pada jendela pepindahan kedua bagi menggantikan pemain Timor Leste, Juliano Mineiro yang bergelut dengan kecederaan sekali gus melengkapkan kuota empat import pasukan itu pada musim ini.

Die meledak dua gol buat Selangor pada aksi persahabatan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu namun belum cukup untuk membantu pasukan mencatat kemenangan apabila tumbang 5-3 di tangan pendahulu Liga Perdana itu.

Dalam masa sama, Maniam tidak menolak penyerang kelahiran Sepanyol itu akan diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi bertemu T-Team di laman sendiri, 1 Julai ini.

“Jika tiada apa-apa masalah, sudah pasti dia akan diturunkan dalam kesebelasan utama bagi menambah sengat pada bahagian jentera serangan pasukan ini,” katanya.