SELANGOR memulakan kempen Piala Malaysia musim ini dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan T-Team 3-1 pada aksi sulung Kumpulan D di Stadium Shah Alam malam tadi.
Ketiga-tiga gol Selangor dijaringkan pada separuh masa kedua menerusi D. Surendran, Rudie Ramli dan R. Surendren manakala gol tunggal T-Team hasil jaringan Rosli Muda pada penghujung perlawanan.
Selangor dan T-Team mempamerkan aksi seimbang pada awal permainan dengan tuan rumah mempertaruhkan gandingan Safee Sali dan Amri Yahyah manakala pasukan pelawat diterajui dua bekas penyerang Selangor, Haris Safwan Kamal dan Abdul Hadi Yahaya.
Namun segalanya berubah pada minit ke-23 apabila T-Team terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan tengah, Nur Alif Zainal Abidin dilayangkan kad merah.
Ketika cuba menghalang Amirulhadi Zainal melakukan rembatan, Nur Alif tiada pilihan lain kecuali melakukan terjahan dari belakang terhadap pemain sayap Selangor itu betul-betul di luar kotak penalti T-Team.
Beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Selangor mula mengatur serangan demi serangan bagi mencari gol pembukaan.
Namun peluang terbaik pada minit ke-32 dipersiakan oleh Amri yang sekadar merembat tinggi bola lorongan cantik Safee Sali dari sebelah kanan.
T-Team juga sesekali menyerang dan Haris memiliki peluang terbaik pada minit ke-40 tetapi rembatan cantiknya dari luar kotak penalti berjaya ditepis Hamsani Ahmad yang terpaksa melayangkan badannya.
Terikat tanpa jaringan, Selangor akhirnya beroleh gol pertama pada awal babak kedua.
Gol tersebut terhasil menerusi rembatan kencang D. Surendran yang tidak dikawal dalam kotak penalti pada minit ke-50 dan gagal diselamatkan penjaga gol T-Team, Syamsuri Mustafa.
Lapan minit kemudian, Surendran hampir menambah jaringan keduanya tetapi ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan Syamsuri, dia dijatuhkan penjaga gol T-Team itu tetapi pengadil tidak memberikan sepakan penalti.
Sejurus selepas itu, Surendran dikeluarkan untuk memberi peluang kepada Asraruddin Putra Omar menyambung tugasan di posisi sayap kiri Selangor.
Buntu mencari gol tambahan, Selangor memasukkan R. Surendren menggantikan Hardi Jaafar pada minit ke-70 menjadikan Amri turun ke bahagian tengah untuk bergandingan bersama Safiq Rahim manakala Surendren membantu Safee di bahagian serangan.
Pada minit ke-77, jurulatih Selangor, K. Devan memasukkan pula seorang lagi penyerang, Rudie Ramli bagi menggantikan Safee.
Ternyata percaturan tersebut berhasil apabila hanya dua minit kemudian, Rudie yang tidak dikawal berjaya meledak rembatan kaki kiri untuk gol kedua Selangor.
Pada minit ke-83, Amirulhadi kecewa setelah rembatannya dari luar kotak penalti berjaya ditampan dengan baik oleh Syamsuri.
Gawang T-Team akhirnya bocor juga buat kali ketiga menerusi rembatan cantik Surendren dari luar kotak penalti yang berjaya memerangkap Syamsuri untuk kedudukan selesa 3-0 pada minit ke-91.
Namun pada minit ke-93, T-Team berjaya juga mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan Rosli apabila rembatannya hanya mampu ditepis sedikit oleh Hamsani.
Dengan kemenangan 3-1 itu, Selangor pasti lebih bersemangat untuk menghadapi perlawanan kedua menentang Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat ini.
Felda United tewas 2-3 kepada Perlis pada aksi di Kangar malam tadi.
SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 3.Razman Roslan, 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim, 14.Hardi Jaafar (23.R.Surendren), 19.D.Surendran (4.Asraruddin Putra Omar), 17.Amri Yahyah (c), 10.Safee Sali (9.Rudie Ramli).
Simpanan tidak digunakan: 22.Iqbal Suhaimi, 11.Zaiza Zainal Abidin, 24.Fitri Shazwan Raduwan, 25.Fazilidin Khalid.
T-TEAM: 22.Syamsuri Mustafa, 16.Shazlan Alias, 3.Nor Fazly Alias, 17.Nur Alif Zainal Abidin, 19.Rosdi Talib (c) (21.Ahmad Shahril Zakaria), 11.Kamal Rodiarjat Ali (27.Fakhrurazi Musa), 15.Harizul Izuan Rani, 25.Norhisham Hassan (6.Rosli Muda), 7.Badrul Hisyam Morris, 14.Abdul Hadi Yahaya, 23.Haris Safwan Kamal.
Simpanan tidak digunakan: 24.Shahril Saari, 2.Hasbullah Awang, 4.Subri Sulong, 5.Abdul Alif Alias.
PENGADIL: S. Sinthana Rajan

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan T-Team>> KLIK DI SINI