SELANGOR mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini setelah menewaskan Perak 3-1 pada perlawanan kedua Liga Super 2009 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Selangor ketinggalan pada minit ke-29 apabila rembatan cantik penyerang Perak, Razali Umar Kandasamy dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Namun, jaringan lawan itu tidak bertahan lama dan seminit kemudian, Safee Sali berjaya menyudahkan umpanan ketua pasukan, Amri Yahyah untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga waktu rehat.
Selangor memperolehi gol kedua pada minit ke-62 menerusi sepakan kaki kiri Amirul Hadi Zainal di dalam kotak penalti setelah pertahanan Perak gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Pertahanan Selangor, Nasriq Baharom menutup terus sisa perjuangan Perak menerusi tandukan cantik hasil sepakan percuma D. Surendran untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-85.
Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan Selangor terus berada di tangga teratas Liga Super selepas semua pasukan beraksi dua perlawanan dengan enam mata maksimum.
Sabtu ini, Selangor dan Negeri Sembilan yang mengumpul sama mata akan bertemu di Stadium Shah Alam bagi menentukan pasukan mana lebih layak untuk terus memimpin carta Liga Super.
SELANGOR: 21- Hamsani Ahmad, 3- Razman Roslan, 5- Khairul Anuar Baharom, 6- Nasriq Baharom, 15- P. Gunalan, 20- Amirul Hadi Zainal (19- D. Surendran), 14- Hardi Jaafar, 17- Amri Yahyah (c), 26- Zameer Zainun (27- Fareez Asmawi), 10- Safee Sali, 23- R. Surendren (9- Rudie Ramli).
PERAK: 22- Megat Amir Faisal, 2- S. Subramaniam (c), 3- Chun Keng Hong, 18- K. Thinagaran, 4- Benedict Martin (5- A. Varathan), 8- Hafiszuan Salehuddin, 10- Nazri Kamal (7- Arsyah Ayob), 17- Fauzi Ariffin, 28- Wan Hossen Wan Ghani, 11- Shahrizal Saad, 23- Razali Umar Kandasamy (9- Saufi Sa’aidi).