Selangor 0 UPB-MyTeam 1
SELANGOR gagal mempertahankan kedudukan di tangga teratas Liga Super selepas tewas 0-1 kepada UPB-MyTeam pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Pasukan tuan rumah terlebih berpeluang mencipta jaringan menerusi Amirul Hadi Zainal namun percubaannya seawal minit ke-5 dihalang penjaga gol UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussein manakala sepakannya dari luar kotak penalti pada minit ke-20 tersasar dari gawang lawan.
Kedua-dua pasukan mempamer aksi berhati-hati sekaligus menyaksikan bola lebih banyak berlegar di tengah padang tanpa banyak peluang keemasan diperolehi di depan pintu gol sehingga wisel separuh masa pertama ditiup dengan kedudukan 0-0.
Selangor terpaksa membuat pertukaran di awal babak kedua apabila pemain pertahanan kanan D Surendran yang berlaga dengan Khairul Anuar Baharom tidak dapat meneruskan perlawanan dan diganti dengan Sanjos Sundawat.
Pasukan pelawat yang jarang mengatur serangan sepanjang perlawanan menghukum kelekaan barisan pertahanan Selangor apabila Deepan Kandasamy yang tidak dikawal membuat hantaran lintang yang berjaya disudahkan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha menewaskan penjaga gol Merah Kuning, Hamsani Ahmad.
Gol tersebut memaksa Selangor melancarkan serangan demi serangan ke atas kubu UPB-MyTeam namun gagal mencari gol penyamaan. Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan pelawat.