Tingkat 2-27 Yayasan FAS Business Avenue, SS7 Jalan Perbandaran, Kelana Jaya 47301 Petaling Jaya03-7803 7054/7105
Contact info
Tingkat 2-27 Yayasan FAS Business Avenue, SS7 Jalan Perbandaran, Kelana Jaya 47301 Petaling Jaya03-7803 7054/7105

Liga Super: Terengganu 1 Selangor 1

SELANGOR kekal di tangga teratas Liga Super meskipun sekadar seri 1-1 dengan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Namun keputusan seri itu berjaya menghalang hajat Terengganu untuk merampas kedudukan teratas liga daripada Selangor.

Selepas 16 perlawanan, Selangor masih di takhta liga dengan 33 mata manakala Terengganu kekal di tangga kedua dengan 32 mata.

Kedudukan Selangor bagaimanapun belum selamat kerana Kelantan di tangga ketiga dengan 30 mata mampu merampas takhta andai mereka menewaskan Kuala Lumpur di Kota Bharu malam ini.

Ini kerana Kelantan memiliki perbezaan gol yang jauh lebih besar berbanding Selangor.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, K. Devan terpaksa melakukan rombakan di dalam kesebelasan utamanya.

Selangor turun tanpa Khairul Anuar Baharum, Razman Roslan, Hardi Jaafar dan Amirulhadi Zainal yang mengalami kecederaan atau digantung perlawanan.

Sebagai ganti, Asraruddin Putra Omar turun sebagai bek kanan mengisi tempat Razman, Fitri Shazwan Raduwan di sayap kiri manakala Rudie Ramli di sayap kanan.

Permainan seimbang dipertontonkan kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama perlawanan.

Selangor berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-42 apabila lorongan cantik Amri Yahyah dari tengah disudahkan dengan baik oleh Safiq Rahim untuk gol pendahuluan.

Pada babak kedua, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-57 untuk memberi tenaga baru dalam memburu gol penyamaan.

Hasilnya pada minit ke-62, Terengganu berjaya memperolehi gol penyamaan menerusi tandukan terbang Ismail Faruqi Ashari setelah menerima lambungan Joseph Kalang Tie dari sebelah kanan.

Gol tersebut nyata menyemarakkan terus moral para pemain Terengganu yang mula menguasai sepenuhnya permainan sambil para pemain Selangor terpaksa bertahan.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar yang beberapa kali berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya Terengganu.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Selangor akan bertemu Kuala Lumpur pada aksi seterusnya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa ini.

TERENGGANU: 25. Sharbinee Allawee Ramli, 21. Helmi Remeli (3. Muhaimin Omar), 13. Hasmizan Kamarodin, 17. Mazuki Yusof (c), 16. Zubir Azmi, 10. Ismail Faruqi Ashari, 7. Reeshafiq Alwi, 12. Joseph Kalang Tie, 22. Ashari Samsudin, 14. Abdul Hadi Yahaya, 20. Abdul Manaf Mamat (18. Ahmad Nordin Alias).

SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 4. Asraruddin Putra Omar, 6. Nasriq Baharom, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 9. Rudie Ramli, 8. Safiq Rahim, 18. Azidan Sarudin (25. Fazilidin Khalid), 24. Fitri Shazwan Raduwan (19. D. Surendran), 17. Amri Yahyah (c), 23. Fadzli Saari (12. Bunyamin Umar).

PENGADIL: Ku Alauddin Ku Muhammad

Menu