SELANGOR naik ke tangga kelima Liga Super biarpun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Lions XII pada aksi ke-11 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.
Dengan ia merupakan perlawanan tunggal Liga Super yang berlangsung, Lions XII naik ke tangga kedua dengan 21 mata, satu mata memintas Terengganu manakala Selangor pula memintas Perak di tangga kelima dengan terikat 16 mata. Kelantan masih teratas dengan 23 mata.
Babak pertama jelas menjadi milik Selangor apabila anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim berjaya menguasai sepenuhnya permainan. Bagaimanapun tiada sentuhan penyudah mampu mengegar gawang gol tuan rumah.
Namun Selangor dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Lions XII pada minit ke-61 selepas hantaran lintang Safirul Sulaiman dari sebelah kiri berjaya ditanduk masuk Sufian Anuar yang memperdayakan P Gunalan dan penjaga gol, G Jeevananthan.
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor terus melancarkan serangan ke kubu Lions XII dan hasilnya pada minit ke-80, sepakan percuma Bosko Balaban terus menerjah jaring untuk kedudukan terikat 1-1.
Selangor sepatutnya mampu meraih tiga mata penuh, namun tandukan Balaban hasil hantaran lintang K Gurusamy dari sebelah kanan pada masa kecederaan berjaya ditepis cantik penjaga gol Lions XII, Hyrulnizam Jumaat.
Perlawanan seterusnya, Selangor akan bertemu Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 31 Mac ini.
Pengadil: Sukri Nor