Selangor mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan pasukan jiran Lembah Kelang, Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Jurulatih Irfan Bakti yang tidak dapat menurunkan penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban akibat penggantungan menyandarkan harapan untuk memburu gol kepada R Surendren yang digandingkan dengan ketua pasukan Amri Yahyah.
Namun aksi Surendren hanya bertahan 16 minit apabila beliau mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Azidan Sarudin.
Ternyata kemasukan Azidan membawa tuah apabila beliau membuka tirai jaringan buat Selangor pada minit ke-33. Pemain tengah Selangor, Safiq Rahim yang menerima hantaran di celah-celah pertahanan Kuala Lumpur melarikan bola sebelum dihalang penjaga gol lawan, namun Azidan lebih pantas mudah menolak masuk bola muntah tersebut.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Selangor tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan apabila Amri Yahyah meledakkan sepakan deras jarak jauh untuk menewaskan sebaik sahaja aksi babak kedua dimulakan.
Mendahului selesa 2-0, pasukan tuan rumah terus menyerang ke kubu Kuala Lumpur. Hasil sepakan sudut Safiq Rahim ditanduk masuk pemain pertahanan Ramez Dayoub pada minit ke-62 untuk kedudukan 3-0.
Selasa lalu, palang menjadi penghalang ketika Amri Yahyah melambungkan bola dari luar kotak penalti melepasi penjaga gol Kedah. Tetapi kali ini tuah memihak kepadanya apabila aksi yang sama dari kedudukan hampir sama menemui jaring lawan 10 minit sebelum perlawanan berakhir sekaligus melengkapkan malam gemilang Merah Kuning.
Tambah manis, kemenangan 4-0 ini membolehkan Selangor melonjak ke tangga ketiga mengatasi Perak yang tewas 0-6 kepada Kelantan di Kota Bharu.
Selangor akan bertemu Sabah dalam perlawanan terakhir liag di tempat sendiri Selasa ini sebelum bertandang ke Terengganu untuk melengkapkan jadual liga pada hari Sabtu.
KUALA LUMPUR: Amirul Abu Seman; Azrul Azmi, Aslam Najamudeen, Ahmad Jihad Ismail, Arman Fareez Ali; Khairul Anuar Shafie, Nur Hakim Azhar, Emmanuel Okine, Pritam Singh; Stanley Bernard, Afiq Azmi
Simpanan: Rozaimie Rohim, Ahmad Dashila Tajudin, Hishamuddin Othman, Khairrul Anuar Jamil, Syafiq Johari, S. Sivaraj, Badrul Hisyam Azmi
SELANGOR: Norazlan Razali; Mohd Razman Roslan, Ramez Dayoub, Mohd Asraruddin Putra Omar, P. Gunalan; Solihin Kanasian, Safiq Rahim, Mohd Bunyamin Umar (Mohd Fazilidin Khalid), Mohd Fitri Shazwan Raduwan (Mohd Amirulhadi Zainal); Mohd Amri Yahyah, R. Surendren (Azidan Sarudin)
Simpanan: G Jeevananthan, Adib Aizuddin Ab Latif, Mohd Nasriq Baharom, Famirul Asraf Sayuti
PENGADIL: Nafeez Abdul Wahab