Selangor 4 Kedah 0

Saturday, 06 March 2010 17:01

SELANGOR kekal menguasai tangga teratas Liga Super 2010 apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas Kedah 4-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Ia sekali gus membuktikan Selangor begitu gah setiap kali aksi di tempat sendiri musim ini setelah mereka sebelum ini membelasah Kuala Lumpur (4-1), Pahang (4-0) dan Johor (6-0).

Pada perlawanan malam tadi, Selangor mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Safee Sali (m-26) dan Amirulhadi Zainal (m-38).

Ketua pasukan, Amri Yahyah menambah gol ketiga Selangor pada minit ke-60 sebelum Amirulhadi menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-76.

Selangor jelas menguasai separuh masa pertama dan tuan rumah hampir saja membuka tirai jaringan seawal minit ke-11.

Namun percubaan kaki kiri Amri dari dalam kotak penalti selepas menerima lorongan Safee sempat diselamatkan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Kedah turut memperolehi peluang terbaik pada minit ke-14 tetapi percubaan kaki kiri Azlan Ismail setelah dia melepasi kawalan Nasriq Baharom sedikit tinggi melepasi palang gol Selangor.

Pada minit ke-19, sepakan percuma pemain sayap Kedah, Baddrol Bakhtiar hampir mencemaskan kem Selangor tetapi ia sempat ditumbuk keluar oleh penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Gol yang dicari Selangor menjelma pada minit ke-26 setelah Safee bijak melihat Helmi terkeluar daripada posisinya dengan melakukan rembatan kencang kaki kiri dari luar kotak penalti yang terus menerjah penjuru kiri gawang gol Kedah.

Selangor berpeluang menambah gol pada minit ke-29 tetapi Amirulhadi yang menerima lorongan Safiq Rahim sekadar merembat sipi tatkala Safee sudah menunggu di depan pintu gol Kedah.

Kedah terpaksa mengeluarkan pemain tengah, Arfan Rasyid pada minit ke-36 yang mengalami kecederaan akibat diterjah Bunyamin Umar dan menggantikannya dengan Faizal Abu Bakar.

Hanya tiga minit selepas itu, Selangor pula berjaya memperolehi gol kedua selepas Amirulhadi menyudahkan gerakan satu duanya bersama Hardi Jaafar.

Pada minit ke-41, Selangor sepatutnya sudah berjaya memperolehi gol ketiga menerusi tandukan cantik Amri tetapi ia dibatalkan kerana kapten Selangor itu berkedudukan offside.

Ketinggalan dua gol, Kedah memulakan babak kedua dengan langkah kiri apabila ketua pasukan, Shahrulnizam Mustafa terpaksa dikeluarkan pada minit ke-49 akibat kecederaan dan digantikan dengan Shafizan Hashim.

Pada minit ke-54, Kedah hampir berjaya merapatkan kedudukan tetapi rembatan kencang Baddrol dari luar kotak penalti dapat ditepis keluar Hamsani.

Sebaliknya Selangor pula yang terus selesa dengan gol ketiga pada minit ke-60 selepas Amri bijak melakukan lambungan dari dalam kotak penalti memerangkap Helmi setelah dia menerima hantaran Amirulhadi.

Kedah tidak berputus asa mencari gol semangat tetapi satu serangan balas pada minit ke-63 gagal disudahkan Azlan apabila sepakannya ketika hanya berdepan Hamsani berjaya dihadang baik penjaga gol Selangor itu.

Selangor menamatkan sisa perjuangan Kedah dengan gol keempat menerusi Amirulhadi yang melakukan rembatan kencang di depan pintu gol Kedah setelah menerima hantaran D.Surendran dari sebelah kanan pada minit ke-76.

Biarpun memperolehi beberapa lagi peluang terbaik pada 10 minit terakhir permainan, Selangor gagal menambah jaringan untuk kedudukan 4-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Dengan kemenangan besar itu, Selangor kekal di tangga teratas Liga Super dengan 22 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Terengganu pula kekal di tangga kedua selepas menewaskan KL Plus 1-0 di Stadium MBPJ dengan mereka kekurangan lima mata berbanding Selangor yang beraksi lebih satu perlawanan.

Selasa ini, Selangor bakal meneruskan cabaran mereka dalam saingan Piala FA 2010 dengan bertemu Pos Malaysia pada aksi suku akhir pertama yang akan berlangsung di Stadium Selayang.

SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 3.Razman Roslan (19.D.Surendran), 5.Khairul Anuar Baharum, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal (16.Azrine Efendy Saduddin), 12.Bunyamin Umar, 14.Hardi Jaafar, 8.Safiq Rahim, 17.Amri Yahyah (c), 10.Safee Sali (23.R.Surendren).

KEDAH: 1.Helmi Eliza Elias, 17.V.Thirumurugan, 3.Shahril Faizal Sharifuddin, 20.Khairul Helmi Johari, 21.Sabre Mat Abu, 7.Baddrol Bakhtiar, 8.Shahrulnizam Mustafa (c) (6.Shafizan Hashim), 29.Arfan Rasyid (24.Faizal Abu Bakar), 9.Azmi Muslim, 13.Saramsak Kram (27.Aminuddin Azmi), 14.Azlan Ismail.

Pengadil: Sukri Abd. Rahman

Selangor

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Kedah>> KLIK DI SINI

 

PERLAWANAN SETERUSNYA

Sat, 31 Jul 2010 20:45 
Liga Super 2010
Selangor
Selangor
: Terengganu
Terengganu
(Stadium Shah Alam)

Tue, 03 Aug 2010 20:45 
Kedah
Kedah
: Selangor
Selangor
(Stadium Darulaman)
KEPUTUSAN TERKINI
Liga Super 2010
Wed, July 28, 2010
20:45 Johor - Johor FC 0 : 5
20:45 Perlis - Terengganu 2 : 4
20:45 Kedah - Pahang 3 : 0
20:45 Kelantan - KL Plus 4 : 1
20:45 Perak - Kuala Lumpur 0 : 1
20:45 Pulau Pinang - Negeri Sembilan 0 : 3
20:45 T-Team - Selangor 1 : 2
LIGA SUPER
Liga Super 2010
  MWDLF/AP
1 Selangor24193260:2160
Kelantan24167147:1355
Terengganu24145549:2547
Johor FC24134743:2343
Kedah2498732:2235
Kedudukan penuh
PIALA AFC
Piala AFC 2010
  MWDLF/AP
Sriwijaya FC641117:313
Binh Duong FC641114:213
3 Selangor61147:164
Victory SC61142:194
Kedudukan penuh

Diari FAS

No events