KELEBIHAN beraksi di gelanggang sendiri menentang pencabar terdekat Kelantan Sabtu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Selangor dalam usaha untuk memastikan kejuaraan Liga Super 2010 tidak terlepas dari genggaman.
Sokongan padu peminat tempatan di Stadium Shah Alam bakal menjadi pendorong paling baik buat pemain skuad Gergasi Merah yang masih berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Liga di gelanggang sendiri setakat ini.
Menyedari bahawa faktor penyokong memainkan peranan penting untuk membantu kemenangan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan mula menjual tiket-tiket berharga RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun untuk perlawanan berkenaan di pintu masuk utama stadium, mulai jam 10 pagi Jumaat (9 Julai) dan Sabtu (10 Julai) ini.