Paste your Google Webmaster Tools verification code here

Undian Piala Presiden & Piala Belia 2016

Selangor diundi dalam Kumpulan B bagi saingan Piala Presiden 2016 dan Kumpulan A bagi saingan Piala Belia 2016 pada majlis undian yang berlangsung di Hotel Grand BlueWave Shah Alam, petang semalam.

Bagi saingan Piala Presiden 2016, skuad B-21 Selangor kendalian jurulatih Omar Ali bakal berada sama kumpulan dengan naib juara musim lalu, Pulau Pinang serta Sabah, PDRM, Kuala Lumpur, Pahang, T-Team, Melaka, PKNS FC dan Perak.

Kumpulan A pula menampilkan juara bertahan, Kelantan serta Terengganu, JDT III, UiTM FC, Negeri Sembilan, Kedah, ATM, Perlis, Sarawak dan Felda United.

“Secara asasnya, Piala Presiden ini adalah pertandingan untuk pasukan pembangunan. Jadi kekuatan antara pasukan yang mengambil bahagian tidak terlalu jauh.

“Pada peringkat awal ini, kita boleh nampak undian ini seperti seimbang. Tapi selepas mengharungi beberapa perlawanan nanti, baru kita boleh lihat pasukan mana lebih menonjol.

“Bagi saya, untuk Kumpulan B, antara pesaing yang perlu kita ambil perhatian dalam merebut empat slot teratas ke suku akhir ialah Melaka, Sabah dan juga PKNS FC,” kata Omar.

Musim lalu, skuad B-21 Selangor gagal ke suku akhir Piala Presiden selepas menduduki tangga keenam Kumpulan A.

Sementara itu, bagi saingan Piala Belia 2016, skuad B-19 Selangor yang juga juara bertahan kendalian jurulatih Noor Zaidi Rohmat diundi dalam Kumpulan A bersama Sarawak, Perak, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan SSMP B-17.

Kumpulan B pula terdiri daripada Melaka, Felda United, ATM, Kelantan, SSBJ B-17, Terengganu, MISC-MIFA, Kuala Lumpur, JDT IV dan SSMP B-16.

“Secara jujurnya saya melihat persaingan musim ini berbeza dengan musim lalu kerana formatnya juga berbeza apabila musim lalu secara liga sepusingan satu kumpulan saja.

“Malah saya lihat semua pasukan melakukan persiapan baik untuk musim ini. Jadi pasti cabaran yang hebat dengan tahap saingan lebih kompetitf musim ini.

“Bagi Kumpulan A, saya melihat Kedah, Sabah, Pulau Pinang dan Perak perlu diberi perhatian dalam perebutan empat kedudukan teratas ke suku akhir.

“InsyaAllah kita akan cuba yang terbaik dari segi persiapan pasukan dan akan memberikan satu persaingan hebat bagi memastikan Piala Belia kekal di Selangor,” kata Noor Zaidi.

Saingan Piala Presiden 2016 bakal bermula pada 3 Mac ini manakala Piala Belia 2016 bermula pada 28 Februari ini.