TLDM memulakan saingan Liga Selangor musim 2015 dengan langkah kanan selepas menewaskan PNSB 1-0 pada perlawanan Piala Sumbangsih di Padang SUK, Shah Alam, semalam.

Kedua-dua pasukan bermula dengan rancak biarpun beraksi di atas padang basah dan licin namun gagal memanfaatkan 45 minit pada babak pertama permainan.

Aksi separuh masa kedua baru berusia dua minit apabila pemain TLDM, Mohd Shahir Sapian berjaya memecahkan kebuntuan jaringan.

Gol tersebut menyentak PNSB yang melancarkan serangan demi serangan untuk mencari gol penyamaan namun keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil.

Piala Sumbangsih disampaikan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Hj Mohd Ibrahim.