Selangor gagal mempertahankan kejuaraan Piala Belia yang dimenangi tahun lalu selepas tewas 1-2 kepada Perak pada perlawanan suku akhir yang berlangsung di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Selepas kehilangan khidmat pemain tengah, Muhd Rizman Mahmud akibat kecederaan lutut di awal kejohanan, nasib malang Selangor berterusan selepas kehilangan seorang lagi pemain tengah, Faridzul Muadz yang gagal pulih dari demam sejurus sebelum perlawanan.

Perak terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan keadaan padang Stadium Hang Tuah dan mengatur beberapa serangan sehingga mendapat gol pertama seawal minit ke-10. Seakan tersentak dengan gol itu, pemain-pemain Selangor mula memperkemaskan permainan dan mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Gol penyamaan yang dicari Merah Kuning berjaya diperolehi pada minit ke-40 menerusi gerakan solo penyerang, Mohd Zulfahamzie Tarmizi.

Namun kegembiraan Selangor tidak bertahan lama apabila hanya 4 minit berselang, Perak berjaya mendapat gol melalui tendangan percuma akibat kelekaan barisan pertahanan dan penjaga gol. Tamat separuh masa pertama Perak mendahului 2-1.

Separuh masa kedua, Selangor terus mengawal permainan ketika Perak lebih banyak bertahan dan mengharapkan serangan-serangan balas pantas. Bagaimanapun ketumpulan jentera serangan Selangor serta kekebalan barisan pertahanan Perak memastikan perjuangan anak-anak buah Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir berakhir di peringkat suku akhir.

SELANGOR: 1-Muhammad Haikal Mohd Hisham (G), 2-Muhammad Rahimy Mohd Ramly, 4-Mohamad Azman Mohd Noor (c), 5-M Tamilmaran, 13-S Jayrao, 8-K Sarkunan, 19-Abdul Rakib Abdul Razak, 19-Muhammad Amirul Syafiq, 11-Mohd Faizuddin Mohd Abidin, 9-Muhammad Sharul Nizam Zainal, 14-Mohd Zulfahamzie Tarmizi