Kesediaan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada satu majlis yang berlangsung di AVANI Sepang Goldcoast Resort, Sepang, petang tadi membuktikan pengurusan dan pegawai persatuan ini serta barisan pemain skuad Red Giants berintegriti dan bersih daripada gejala rasuah.

Presiden FAS, Dato’ Sri Subahan Kamal berkata, beliau cukup berbangga apabila persatuan ini menjadi persatuan sukan pertama di Malaysia menandatangani IBR yang diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini adalah kerjasama antara SPRM dan FAS yang mana kita mahu menerapkan nilai-nilai murni di kalangan bukan saja pemain, malah para pegawai pasukan dan persatuan. Kami berasakan ia satu program yang amat baik.

“Saya amat berbangga kerana FAS menjadi persatuan sukan pertama yang mengadakan majlis ikrar ini dan saya berharap SPRM juga dapat memberikan kerjasama baik dengan FAS iaitu dengan memberi nasihat dari semasa ke semasa kepada pegawai dan pemain bagi memantau keadaan.

“Kita juga mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa FAS ini dalam keadaan yang sihat di mana pengurusan baharu kita memang berhemah tinggi dan kita bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik, beramanah dan berintegriti demi masa depan bola sepak Selangor,” kata Subahan pada sidang media selepas majlis berkenaan, petang tadi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Azam Baki yang turut hadir pada majlis berkenaan telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAS bagi penggal 2017-2021.

“Saya amat gembira kerana sebelum ini Jawatankuasa Integriti FAS pengerusinya dari kalangan Exco FAS tetapi buat pertama kalinya pada mesyuarat exco pertama baru-baru ini, kita telah sepakat untuk menjadikan jawatankuasa ini sebagai satu badan yang bebas iaitu tiada kena mengena dengan FAS itu sendiri.

“Jadi saya berterima kasih dan bersyukur kerana Dato’ Azam bersetuju untuk dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAS untuk penggal kali ini,” jelas Subahan.

Majlis menandatangani IBR petang tadi itu telah dimulai oleh Subahan sendiri dan diikuti oleh barisan exco FAS yang baharu serta para pegawai dan pemain skuad Liga Super Selangor diketuai jurulatih P Maniam dan kapten Razman Roslan.