Sejumlah 14 jaringan gol pasukan Selangor pada saingan Liga Super setakat ini dikongsi enam pemain.

Jaringan keempat musim ini dari penyerang, Francis Forkey Doe semasa aksi menentang Sarawak, Sabtu lalu membolehkan beliau berkongsi sebagai penjaring terbanyak Selangor musim ini bersama-sama dengan Juliano Mineiro.

Ketiadaan Doe pada 3 perlawanan lalu akibat kecederaan yang dialami semasa menentang Kelantan pada 25 Februari lalu bagaimanapun ditampung Mineiro yang berjaya menjaringkan 3 gol pada tempoh tersebut.

Kembalinya Doe untuk membarisi kesebelasan utama pastinya memberikan kelegaan kepada ketua jurulatih, P Maniam selepas pasukannya gagal menjaringkan gol buat pertama kali pada saingan liga ketika tewas 0-1 kepada Perak pada 4 Mac lalu.

Penyerang import dari Romania, Victor Astafei turut menambah koleksi jaringan peribadi beliau kepada 3 gol apabila menjaringkan gol pembukaan ketika bertemu Sarawak.

Adam Nor Azlin, Syahmi Safari dan Raimi Md Nor melengkapkan senarai penjaring Red Giants musim ini, masing-masing dengan satu gol.