Selangor juara Piala Belia 2013

Skuad B-19 Selangor bimbingan Adam Abdullah muncul juara Piala Belia 2013 selepas berjaya menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi final di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Ketika kedudukan terikat 1-1, Alif Haikal Sabri muncul wira Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75.

Kejayaan itu menamatkan penantian panjang Selangor selama tujuh tahun selepas kali terakhir bergelar juara kejohanan B-19 itu pada 2006 ketika dibawah kendalian P Maniam, penolong jurulatih skuad Liga Super Selangor musim ini.

Selepas mara ke final menerusi kemenangan besar 5-1 ke atas juara bertahan, Perak pada aksi separuh akhir, pagi kelmarin, Selangor bermula garang dengan lebih banyak melancarkan serangan ke kubu Kelantan pada awal babak pertama.

Hasilnya pada minit ke-21, Mustaqim Yusoff melepaskan rembatan untuk gol pertama Selangor selepas melepasi kawalan barisan pertahanan Kelantan sekali gus menggamamkan penjaga gol lawan.

Namun Kelantan tidak berputus asa dan hasil daripada satu gerakan serangan, mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-41 menerusi penyudah Adlie Aziz.

Terikat 1-1, permainan pada babak kedua tampak lebih seimbang sebelum Alif Haikal akhirnya berjaya memperdaya pertahanan Kelantan sebelum melepaskan rembatan untuk gol kedua Selangor pada minit ke-75.