Selangor garang di Melbourne

Dua gol Muhammad Afiq Azmi membantu Selangor bermula cemerlang dalam siri persiapan pra-musim di Australia dengan menewaskan South Melbourne 4-0 di Stadium Lakeside, Melbourne petang tadi.

Selangor pertama kali menampilkan Farizal Marlias, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohamad Azmi Muslim dan bekas pertahanan Perth Glory, Steve Pantelidis di dalam kesebelasan utama manakala Abdul Hadi Yahya kembali menyarung jersi Merah Kuning selepas kali terakhir berbuat demikian pada musim 2007.

Ternyata, cuaca sejuk pada perlawanan yang bermula jam 7 petang waktu tempatan itu tidak menghalang Selangor dari bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit ke-8 menerusi Abdul Shukur Jusuh. Shukur bijak memberi tekanan kepada pertahanan lawan sehingga melakukan kesilapan sebelum menolak masuk.

Selepas dari itu Selangor terus menguasai perlawanan dan melancarkan serangan-serangan berbahaya terutama dari sebelah kanan menerusi gandingan ketua pasukan, Mohd Bunyamin Umar dan S Kunanlan namun tidak berhasil menambah jaringan.

Gandingan baru di benteng turut beraksi cemerlang apabila menunjukkan persefahaman dalam mengekang penyerang South Melbourne yang mempunyai kelebihan fizikal.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat aksi babak pertama.

Kecederaan kecil yang dialami oleh Shukur memaksa jurulatih, Mehmet Durakovic membawa masuk penyerang tinggi lampai, Muhammad Afiq Azmi bagi menggantikan beliau di permulaan babak kedua. Penjaga gol Mohd Hamsani Ahmad turut diberi peluang beraksi dengan mengambil-alih tempat Farizal.

Kemasukan Afiq menambah sengat di barisan serangan namun kemasukan pemain berusia 19 tahun, K Satish nyata memberi panik kepada barisan pertahanan tuan rumah.

Satish menguji penjaga gol lawan menerusi sentuhan pertama beliau namun sepakannya diselamatkan. P Rajesh dan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid juga dimasukkan bagi menggantikan Bunyamin dan Shahrom.

Akhirnya pada minit ke-75 Selangor berjaya menambah jaringan. Hantaran bijak Kunanlan disambut Afiq yang menewaskan seorang pertahanan lawan sebelum merembat masuk.

Selang tiga minit kemudian, Afiq terus garang apabila merembat deras dari jarak jauh untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Tidak cukup dengan itu, Selangor menutup tirai jaringan menerusi gol dari Kunanlan menerusi gerakan dari sebelah kiri yang juga merupakan sepakan terakhir perlawanan.

SELANGOR: Mohd Farizal Marlias (Mohd Hamsani Ahmad), Mohd Bunyamin Umar (P Rajesh), Muhammad Shahrom Abdul Kalam (Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid), Steve Pantelidis, Mohamad Azmi Muslim, K Gurusamy, S Veenod, Mohd Fitri Shazwan Raduwan, S Kunanlan, Abdul Shukur Jusoh (Muhammad Afiq Azmi), Abdul Hadi Yahya (K Satish)