Sesi pemilihan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia Selangor bagi menghadapi musim 2015 mendapat sambutan hangat dari pemain-pemain berbakat yang menghadiri sesi pertama di Padang SUK, Seksyen 5 Shah Alam, pagi tadi.

Hampir 600 pemain yang rata-ratanya berusia 16-20 tahun hadir sejak awal pagi bagi merebut peluang menambat hati panel pemilihan yang terdiri daripada jurulatih-jurulatih Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Selangor musim ini.

Antara jurulatih yang terlibat adalah P Maniam, Nazliazmi Mohd Nasir, V. Yogeswaran serta Noor Zaidi Rohmat sambil dibantu pegawai-pegawai pasukan seperti Mashiedee Sulaiman (jurulatih kecergasan Liga Super), Shuhaimi Md Nor (jurulatih penjaga gol Piala Belia), Khairulanwar Md Isa (jurulatih kecergasan Piala Presiden dan Piala Belia) dan Azizan Mohd Ghazali (fisio Piala Presiden dan Piala Belia).

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Dan Pembangunan Belia 2014-2018, En Noor Hisham Mohd Ghouth serta Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), En Rosman Mohd Ibrahim turut hadir dalam sesi yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang.

Pemain-pemain yang disenarai pendek akan menghadiri saringan peringkat seterusnya, November nanti. Selepas Shah Alam, sesi pemilihan kedua bergerak ke daerah Kuala Langat bertempat di Padang Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, esok (Ahad, 25 Oktober, 8 pagi).