Kapten Selangor, Razman Roslan enggan menyalahkan mana-mana rakan sepasukannya berikutan kegagalan mereka membawa pulang tiga mata penuh apabila diikat Pahang 2-2 pada perlawanan ke-10 Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Sebaliknya pemain pertahanan berusia 33 tahun itu menganggap ia adalah kesilapan semua pemain termasuk dirinya kerana tidak fokus pada minit-minit terakhir perlawanan sehingga membolehkan Pahang memperoleh gol penyamaan pada minit ke-88.

“Saya tak nak salahkan sesiapa. Ia memang kesilapan kami semua kerana tidak fokus pada situasi tertentu dan juga di penghujung permainan. Itu yang membuatkan gawang kami dibolosi dua kali pada perlawanan ini.

“Memang sedikit mengecewakan apabila kami hampir berjaya meraih kemenangan di tempat lawan tetapi bolos juga pada minit terakhir.

“Apa pun, saya tetap memuji komitmen yang telah ditunjukkan para pemain yang memberikan aksi seratus peratus. Kita tahu, bukan mudah pasukan lawan nak beraksi di Stadium Darul Makmur ini dan Pahang juga agak kuat musim ini.

“Tapi bagi saya, satu mata yang diraih ini sangat berharga dan penting untuk pasukan Selangor,” kata Razman pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Razman yang pernah menyarung jersi Pahang selama empat musim dari tahun 2012 hingga 2015 tidak menganggap itu satu kelebihan buat dirinya beraksi dengan baik pada perlawanan malam tadi.

“Bagi saya, main di mana-mana pun sama saja. Cuma mungkin saya sudah biasa beraksi di sini dan sudah tahu keadaan di sini.

“Tapi sebenarnya, taktikal dan percaturan jurulatih itulah yang paling penting. Bagi kami malam ini, saya rasa taktikal dan perancangan jurulatih P Maniam agak menjadi.

“Cuma sedikit kelekaan di barisan pertahanan menyebabkan kami dibolosi dua gol malam ini,” jelas Razman.