Kapten Selangor, Razman Roslan bertekad untuk memastikan Selangor pulang dengan keputusan positif apabila mereka turun berdepan pendahulu Liga Super 2017, Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Razman, 33, sebelum ini pernah menyarung jersi Pahang selama empat musim dari tahun 2013 hingga 2015 dan turut memakai lilitan lengan selaku kapten skuad Tok Gajah itu.

Namun menjelang pertembungan menentang skuad kendalian Dollah Salleh itu pada Sabtu ini, Razman memberi jaminan bahawa tanggungjawab dan komitmennya bersama pasukan Selangor kini adalah lebih penting berbanding sejarah terdahulu.

“Memang bagi saya ia satu perlawanan yang cukup istimewa kerana saya sebelum ini pernah mewakili dan mengetuai pasukan Pahang dan memenangi beberapa piala bersama mereka.

“Tapi bagi saya, komitmen dan tanggungjawab saya kepada pasukan Selangor adalah lebih penting kali ini. Insya-Allah saya akan memberikan aksi yang terbaik dan cuba untuk mendapatkan keputusan sebaik mungkin untuk pasukan Selangor, Sabtu ini,” kata Razman kepada faselangor.my, hari ini.

Pemain pertahanan yang berasal dari Kampung Sungai Tangkas, Kajang itu bagaimanapun meminta rakan sepasukannya memberi fokus dan memandang serius aksi berdepan Pahang itu memandangkan pasukan lawan ketika ini turut pada prestasi terbaik selepas menewaskan Kelantan 2-1 di Kota Bharu, Sabtu lalu.

“Seperti yang kita tahu, Pahang satu pasukan yang kuat dan mempunyai pemain-pemain yang berkualiti musim ini. Jadi saya harap semua pemain Selangor dapat memberikan komitmen dan fokus seratus peratus sepanjang perlawanan.

“Insya-Allah menerusi taktikal dan strategi daripada jurulatih P Maniam, ia akan sedikit sebanyak membantu kami para pemain untuk mendapatkan keputusan yang baik, Sabtu ini,” jelas Razman.

Selangor kini di tangga keempat Liga Super dengan 15 mata selepas sembilan perlawanan, hanya empat mata di belakang Pahang di tangga teratas selepas berjaya meraih tiga mata penuh menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu.

“Bagi saya, kemenangan ke atas Sarawak itu satu kemenangan yang cukup bermakna memandangkan kita bermain di tempat sendiri dan juga selepas kita berehat panjang.

“Ia sedikit sebanyak akan memberikan motivasi tambahan kepada pasukan untuk turun berdepan Pahang, Sabtu ini,” ujar Razman.