Paste your Google Webmaster Tools verification code here

Raimi: Mahu menang depan penyokong sendiri

Tonggak senior Selangor, Mohd Raimi Md Nor berharap momentum kemenangan pada dua perlawanan terdahulu dapat diteruskan apabila skuad Red Giants itu turun berdepan pendahulu Liga Super 2017, Kedah pada perlawanan ketujuh di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Selepas enam perlawanan, Selangor kendalian P Maniam kini di tangga ketiga liga di belakang Kedah dan Pahang menerusi tiga kemenangan, dua seri dan hanya sekali tewas iaitu kepada PKNS FC 5-3 pada 4 Februari lalu.

Dua kemenangan berturut ke atas Felda United 3-1 dan Kelantan 2-0 di Kota Bharu pada Sabtu lalu nyata memberi motivasi tambahan buat para pemain Selangor biarpun menyedari lawan mereka, Kedah belum tewas selepas enam perlawanan apabila barisan Tan Cheng Hoe itu menang empat kali dan seri dua kali.

“Alhamdulillah, berkat usaha, kerja keras dan kerjasama semua rakan sepasukan, kami telah berjaya mencuri tiga mata penuh dari Kota Bharu.

“Namun memandangkan hanya selang tiga hari untuk kami berdepan pula dengan Kedah, persiapan pasukan lebih bertumpu kepada aspek taktikal dan pemulihan kecergasan para pemain.

“Turun sebagai tuan rumah, sudah tentu kami cuba untuk mengekalkan momentum kemenangan dan prestasi yang sama pada dua perlawanan sebelum ini bagi meraih tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri,” kata Raimi kepada faselangor.my, hari ini.

Menerusi formasi 3-4-3 diterapkan Maniam musim ini, Raimi, 31, beraksi di posisi sayap kiri ketika situasi menyerang dan bertukar peranan sebagai pemain pertahanan kiri, posisi asalnya apabila situasi bertahan.

Selepas bertemu Kedah malam esok, Selangor hanya mempunyai tempoh rehat dua hari sebelum berdepan pula Perak yang kini dibimbing bekas pengendali Selangor musim 2014-2015, Mehmet Durakovic di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.

“Sudah tentu kebanyakan pemain Selangor sedikit-sebanyak tidak terlalu asing dengan gaya permainan Mehmet. Jadi itu mungkin kelebihan buat kami.

“Tapi apa yang lebih penting, kami perlu mengikut segala arahan dan taktikal yang bakal diterapkan jurulatih kami, P Maniam untuk aksi bertemu Perak itu nanti.

“Cuma buat masa ini, fokus kami adalah untuk berdepan Kedah terlebih dahulu,” jelas Raimi.