Pramusim: Sime Darby FC 0-0 Selangor

Skuad Liga Super Selangor mencatat keputusan seri 0-0 dengan pasukan yang bakal beraksi di Piala FAM 2017, Sime Darby FC pada perlawanan pertama pramusim 2017 di Padang Latihan Sime Darby FC, Bukit Jelutong, Shah Alam, petang tadi.

Di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, P Maniam yang memulakan tugas bermula Isnin lalu, Selangor turun dengan mencuba formasi baharu 3-4-3.

Maniam mempertaruhkan penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid di gawang dengan dibantu tiga pemain pertahanan – Rizal Fahmi Rosid, Razman Roslan dan bekas pemain Kuala Lumpur, Ahmad Azlan Zainal yang masih diuji.

S Veenod dan Saiful Ridzuwan Selamat mengemudi jentera tengah sambil dibantu pemain Piala Presiden berusia 18 tahun, Syahmi Safari di sebelah kanan dan Raimi Md Nor di sebelah kiri manakala barisan depan diketuai bekas penyerang Negeri Sembilan, Afiq Azmi yang dibantu Fittri Shazwan Raduwan dan Adam Nor Azlin.

Bersambung separuh masa kedua, Maniam melakukan lima pertukaran serentak dengan membawa masuk bekas pemain AirAsia Allstars FC, Mohd Fairuz Abdul Aziz serta bekas pemain import Pulau Pinang dan Sime Darby FC, Lee Gin Hoon, kedua-duanya sedang diuji serta tiga pemain Piala Presiden – A Namathevan, K Kannan dan Badrul Amin Rusalan.

Sepanjang separuh masa kedua selepas itu, beberapa lagi pemain dibawa masuk iaitu dua pemain Piala Presiden – Faizzudin Abidin dan K Sarkunan, serta penjaga gol ketiga, Zarif Irfan Hashimuddin dan Bunyamin Umar serta beberapa lagi pemain yang diuji iaitu Mohd Akmal Mohd Noor (Sarawak), S Thinagaran (PKNS FC), Yusaini Hafiz Che Saad (PKNS FC) dan Mohd Fadhil Mohd Hashim (Kuala Lumpur).

“Saya baru tiga hari mengendalikan pasukan dan saya rasa bagus untuk kita berdepan pasukan dari Piala FAM sebagai permulaan bagi kita meningkatkan tahap kecergasan fizikal pada perlawanan pramusim pertama ini.

“Lagipun Sime Darby FC (kendalian Ahmad Yusoff) sudah hampir sebulan memulakan latihan pramusim mereka.

“Sudah tentu kita belum mencapai tahap yang baik dan banyak lagi yang perlu dipertingkatkan terutama dari segi taktikal menyerang dan bertahan.

“Tapi saya dapati para pemain memberi fokus dan tumpuan terhadap apa yang saya terapkan sepanjang tiga hari latihan sejak Isnin lalu,” kata Maniam selepas perlawanan, petang tadi.

Ditanya mengenai calon-calon pemain import Selangor untuk musim 2017, pengendali berusia 48 tahun itu nyata tidak terpikat dengan kelibat Gil Hoon, sebaliknya memburu dua penyerang import baharu serta berharap dapat menandatangani tonggak pertahanan import Selangor musim 2016, Ugo Ukah.

“Kami perlukan seorang pemain pertahanan import yang baik dan kalau boleh, kami mahu menandatangani Ukah (yang sudah tamat kontrak) kerana dia seorang pemimpin di atas padang. Kami juga perlukan dua penyerang import selain Andik Vermansah yang masih kekal bersama Selangor,” jelas Maniam.

Selangor akan meneruskan aksi pramusim 2017 bertemu PDRM di Pulapol pada 6 Januari diikuti perlawanan menentang Terengganu di Stadium Selayang pada 11 Januari depan.

Nota: Artikel ini telah dikemaskini bagi pertukaran jadual aksi pramusim terkini.