Pramusim: Selangor 2-0 Terengganu

Skuad Liga Super Selangor berjaya meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan ketiga pramusim 2017 selepas mengatasi pasukan Liga Premier, Terengganu 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Selepas seri 0-0 dengan pasukan Piala FAM, Sime Darby FC pada aksi sulung pramusim pada 29 Disember lalu, Selangor kendalian P Maniam berjaya menewaskan pasukan Liga Premier, PDRM 2-1 di Padang Pulapol, 6 Januari lalu.

Pada aksi malam tadi, Maniam mengekalkan kesebelasan sama ketika aksi bertemu PDRM kecuali menurunkan penjaga gol kedua, Norazlan Razali dan merehatkan Khairulazhan Khalid.

Kapten Razman Roslan, Ugochukwu Ukah dan Rizal Fahmi Rosid mengemudi barisan pertahanan, Saiful Ridzuwan Selamat bergandingan dengan bekas pemain Kuala Lumpur, Abdul Halim Zainal di bahagian tengah, Syahmi Safari dan Raimi Md Nor di posisi sayap kanan dan kiri manakala jentera depan diketuai Francis Forkey Doe sambil dibantu Adam Nor Azlin dan K Kannan.

Sementara Terengganu kendalian Irfan Bakti Abu Salim membariskan antaranya penjaga gol berpengalaman, Sharbinee Allawee Ramli, Abdul Latiff Suhaimi, Shukur Jusoh, Lutfulla Turaev, Issey Nakajima-Farran dan Ferris Danial Mat Nasir.

Selangor dilihat lebih menguasai perlawanan dan beroleh beberapa peluang terbaik, namun percubaan terbaik menerusi Forkey Doe, Adam Nor, Syahmi dan Saiful Ridzuwan gagal menembusi kekebalan benteng terakhir Terengganu dikawal Sharbinee.

Pada minit ke-57, Norazlan terpaksa dikeluarkan kerana mengalami sedikit kecederaan dan digantikan dengan penjaga gol ketiga Selangor, Zarif Irfan Hashimuddin.

Maniam kemudian memasukkan dua pemain import ujian di posisi serangan menggantikan Adam Nor dan Kannan pada minit ke-67.

Hasilnya Selangor berjaya memperoleh gol pertama menerusi tandukan salah seorang pemain import ujian berkenaan, Mohamed Talaat, 28, pada minit ke-72.

Selepas itu, seorang lagi pemain import ujian, Kamil Pozniak, 28, dari Poland dibawa masuk menggantikan Abdul Halim di posisi tengah pada minit ke-73.

Pada minit ke-82, Maniam melakukan dua lagi pertukaran dengan memasukkan Badrul Amin Rusalan dan K Sarkunan menggantikan Forkey Doe dan Saiful Ridzuwan.

Gol kedua Selangor menjelma pada masa kecederaan menerusi penyudah kemas Pozniak yang gagal diselamatkan penjaga gol Terengganu.

Perlawanan pramusim berikutnya, Selangor akan bertemu pasukan Piala FAM, KL MOF FC di Padang SUK, Shah Alam, jam 5.15 petang ini.