Pramusim: Selangor 1-0 MOF FC

Skuad Liga Super Selangor berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Piala FAM, MOF FC pada perlawanan keempat pramusim 2017 di Padang SUK, Shah Alam, petang tadi biarpun sekadar menurunkan barisan simpanan.

Pada aksi berkenaan, jurulatih Selangor, P Maniam bertindak merehatkan kesemua pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Terengganu 2-0 pada perlawanan ketiga pramusim di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Khairulazhan Khalid kembali di gawang dibantu barisan pertahanan iaitu A Namathevan, Bunyamin Umar dan Amirul Ashraf Ariffin.

Posisi tengah dikemudi K Sarkunan dan pemain import ujian, Kamil Pozniak dari Poland sambil posisi sayap kanan dan kiri diisi K Satish dan Fittri Shazwan Raduwan.

Sementara barisan depan diketuai penyerang tinggi lampai Afiq Azmi dengan dibantu dua pemain muda, Faizzudin Abidin dan Badrul Amin Rusalan.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Maniam memasukkan empat pemain import ujian sebaik babak kedua bersambung.

Selangor akhirnya berjaya memperoleh gol menerusi sepakan penalti salah seorang pemain import ujian, Thiago Chulapa dari Brazil pada minit ke-65.

Selepas itu, baki empat lagi pemain import ujian dibawa masuk menggantikan empat pemain import berkenaan untuk terus diuji tetapi tiada tambahan gol berjaya dihasilkan.

Perlawanan pramusim berikutnya, Selangor akan bertemu pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur di Padang SUK, Shah Alam pada Sabtu ini.