Pramusim: Selangor 0-1 PJ Rangers

Skuad Liga Super Selangor tewas 1-0 kepada pasukan Piala FAM, Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) pada perlawanan keenam pramusim 2017 di Padang SUK, Shah Alam, petang tadi.

Bagaimanapun jurulatih Selangor, P Maniam hanya menurunkan barisan simpanan sambil merehatkan majoriti pemain utama yang beraksi ketika bertemu pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Antaranya kapten Razman Roslan, Ugochukwu Ukah, Rizal Fahmi Rosid, Saiful Ridzuwan Selamat, Raimi Md Nor dan Francis Forkey Doe.

Tanpa dua penjaga gol utama, Khairulazhan Khalid dan Norazlan Razali yang mengalami kecederaan, Maniam meletakkan Zarif Irfan Hashimuddin di gawang sambil dilindungi tiga pertahanan – A Namathevan, Bunyamin Umar dan Amirul Ashraf Ariffin.

Abdul Halim Zainal mengemudi jentera tengah bersama K Sarkunan manakala K Satish dan K Kannan menggerakkan bahagian sayap kanan dan kiri sambil barisan depan menggandingkan Afiq Azmi yang dibantu Adam Nor Azlin dan Fittri Shazwan Raduwan.

Peluang terbaik Selangor pada separuh masa pertama hadir pada minit ke-22 tetapi percubaan depan gol oleh Fittri Shazwan berjaya ditepis keluar penjaga gol PJ Rangers, Fadzley Rahim.

Bersambung separuh masa kedua, Maniam melakukan tiga pertukaran serentak dengan membawa masuk penjaga gol skuad Piala Presiden, Damien Lim menggantikan Zarif Irfan serta Faizzudin Abidin dan Badrul Amin Rusalan menggantikan Kannan dan Abdul Halim.

Selepas itu, dua lagi pemain muda dari skuad Piala Presiden dibawa masuk Maniam pada minit ke-61 iaitu Syazwan Salihin dan Amir Asyraf Azhari bagi menggantikan Adam Nor dan Bunyamin.

Namun gawang Selangor akhirnya bocor menerusi pemain pertahanan PJ Rangers, Badrul Affendy Fadzli yang menyudahkan bola sepakan sudut untuk gol pasukan pelawat kendalian Mat Zan Mat Aris itu pada minit ke-72.

Selangor beroleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-83 tetapi percubaan baik Faizzudin berjaya diselamatkan penjaga gol gantian PJ Rangers, Fairul Azwan Shahrullai.

Selepas enam perlawanan pramusim, Selangor berjaya meraih tiga kemenangan ke atas PDRM 2-1, Terengganu 2-0 dan MOF FC 1-0, seri sekali dengan Sime Darby FC 0-0 serta tewas dua kali kepada Kuala Lumpur 1-0 dan PJ Rangers 1-0.

Selangor bakal membuka kempen Liga Super 2017 bertemu Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.