Pramusim: Selangor 0-1 Kuala Lumpur

Skuad Liga Super Selangor mengalami kekalahan sulung pada siri perlawanan pramusim 2017 selepas tewas 1-0 kepada pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur di Padang SUK, Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu skuad kendalian P Maniam ini mencatat keputusan seri 0-0 dengan Sime Darby FC pada aksi pertama pramusim diikuti kemenangan berturut pada tiga aksi berikutnya dengan menewaskan PDRM 2-1, Terengganu 2-0 dan MOF FC 1-0.

Namun pada aksi malam tadi, gol kemenangan Kuala Lumpur kendalian Wanderley Junior berjaya dijaringkan penyerang import dari Argentina, Carlos Chamorro pada minit ke-55.

Selepas mempertaruhkan barisan simpanan ketika aksi bertemu MOF FC, Maniam kembali mempertaruh kesebelasan utamanya dengan Khairulazhan Khalid di gawang Selangor dibantu tiga pertahanan – Razman Roslan, Ugochukwu Ukah dan Rizal Fahmi Rosid.

Saiful Ridzuwan Selamat bergandingan dengan pemain import ujian, Kamil Pozniak dari Poland di jentera tengah dengan bahagian sayap kanan dan kiri dikemudi Syahmi Safari dan Raimi Md Nor.

Sementara jentera depan diketuai Francis Forkey Doe sambil dibantu Adam Nor Azlin dan penyerang import ujian dari Vietnam berkelahiran Ghana, Le Van Tan.

Bersambung babak kedua, Maniam mencuba pula penyerang import ujian dari Mali, Makan Dembele tetapi pada minit ke-80, dia digantikan dengan seorang lagi pemain import ujian.

Pada aksi malam tadi juga, Khairulazhan terpaksa dikeluarkan Maniam pada minit ke-72 selepas penjaga gol kebangsaan itu mengalami kecederaan dan digantikan dengan penjaga gol ketiga, Zarif Irfan Hashimuddin.

Selangor bakal membuka kempen Liga Super 2017 bertemu Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 21 Januari ini.