Pramusim: PDRM 1-2 Selangor

Selangor berjaya menewaskan pasukan Liga Premier, PDRM 2-1 pada perlawanan kedua pramusim 2017 di Padang Pulapol, Kuala Lumpur, petang tadi.

Ia kemenangan sulung skuad kendalian jurulatih baharu, P Maniam itu selepas seri 0-0 dengan pasukan Piala FAM, Sime Darby FC pada aksi sulung pramusim di Bukit Jelutong, Shah Alam, 29 Januari lalu.

Pada aksi petang tadi, Maniam mengekalkan formasi 3-4-3 dengan Khairulazhan Khalid di gawang sambil dibantu tiga pemain pertahanan – Razman Roslan, Ugochukwu Ukah dan Rizal Fahmi Rosid.

Jentera tengah dikemudi Saiful Ridzuwan Selamat dan bekas pemain Kuala Lumpur, Abdul Halim Zainal, 29, dengan dibantu bekas pemain Piala Presiden Selangor musim lalu, Syahmi Safari di sebelah kanan dan Raimi Md Nor di kiri.

Penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe yang beraksi bersama Felda United musim lalu mengetuai bahagian serangan bersama-sama Adam Nor Azlin dan K Kannan.

Kannan berjaya meletakkan Selangor di hadapan seawal minit keempat sebelum PDRM kendalian Fauzi Pilus menyamakan kedudukan menerusi tandukan Dao Bakary selepas sepakan penjuru pada minit ke-32.

Selangor kemudian dihadiahkan sepakan penalti selepas Adam dijatuhkan pertahanan PDRM dan Forkey Doe, 32, tidak menghadapi masalah menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk gol kedua Selangor pada minit ke-41.

Bersambung babak kedua, Maniam mula melakukan pertukaran demi pertukaran bermula dari minit ke-51 bagi mencuba enam pemain import yang datang untuk menjalani ujian.

Selain itu, turut dibawa masuk beberapa pemain Selangor yang lain iaitu A Namathevan, Fadhil Hashim, K Sarkunan, penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin, Afiq Azmi, Amirul Ashraf Ariffin, Badrul Amin Rusalan dan Faizzudin Abidin.

Tiada tambahan gol berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan untuk perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 2-1 buat Selangor.

Seterusnya, Selangor dijadual bertemu satu lagi pasukan Liga Premier, Terengganu pada perlawanan ketiga pramusim, Rabu ini.