Pramusim 2016: Selangor 2 Sarawak 0

Selangor bermula dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan pertama pramusim 2016 di Stadium Selayang, malam tadi.

Gol-gol Selangor pada aksi pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan itu diperoleh menerusi tandukan penyerang import baharu, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-61 dan sepakan percuma pemain tengah baharu, Hafiz Kamal, minit ke-64.

Sarawak kendalian Datuk K Rajagobal bagaimanapun terlebih dahulu menguji kubu Selangor tetapi hantaran lintang pemain pertahanan kiri, Riduwan Maon pada minit keempat berjaya dipintas penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Kemudian, Selangor pula menguji pintu gol Sarawak pada minit kelapan, namun bola lambungan Nazmi Faiz Mansor dari sebelah kiri gagal ditanduk tepat oleh Ronaldinho.

Bermula dari minit ke-17 hingga minit ke-23, penjaga gol Sarawak, Iqbal Suhaimi bertindak cemerlang apabila berjaya menyelamatkan tandukan jarak dekat Ahmad Hazwan Bakri, sepakan percuma Mauro Olivi, rembatan luar kotak penalti Andik Vermansah serta percubaan Olivi dalam kotak penalti.

Biarpun jarang menguji benteng Selangor, pasukan pelawat sesekali mencuba dan pada minit ke-36, Ashri Chuchu berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan Selangor tetapi percubaan akhirnya tersasar melewati palang gol.

Iqbal pula terus cemerlang di gawang Sarawak apabila berjaya menyelamatkan percubaan Raimi Md Nor di dalam kotak penalti pada minit ke-40 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 0-0.

Sebaik separuh masa kedua bersambung, Zainal membuat tiga pertukaran serentak dengan membawa masuk Razman Roslan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan R Gopinathan untuk menggantikan Shahrom Abd Kalam, Bunyamin Umar dan Ahmad Hazwan.

Hasilnya Selangor berjaya memperoleh dua gol pantas dalam tempoh tiga minit iaitu menerusi tandukan Ronaldinho hasil hantaran lintang Andik dari sebelah kanan pada minit ke-61 disusuli sepakan percuma Hafiz, tiga minit kemudian untuk kedudukan berubah 2-0.

Pada minit ke-65, Selangor melakukan dua lagi pertukaran dengan Azmi Muslim dan Fittri Shazwan Raduwan masuk menggantikan Raimi dan Andik disusuli pertukaran keenam – S Veenod menggantikan Hafiz, minit ke-68 dan pertukaran ketujuh – Saiful Ridzuwan Selamat menggantikan Nazmi, minit ke-73.

Seterusnya Zainal melakukan empat pertukaran serentak pada minit ke-77 dengan penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin, Rizal Fahmi Rosid, Abdul Hadi Yahaya dan Adam Nor Azlin masuk menggantikan Norazlan, Robert Cornthwaite, Ronaldinho dan Olivi.

Namun tiada tambahan gol selepas itu untuk keputusan akhir Selangor meraih kemenangan 2-0 ke atas Sarawak.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali (30. Zarif Irfan Hshimuddin), 12. Bunyamin Umar (20. Azrif Nasrulhaq), 2. Robert Cornthwaite (17. Rizal Fahmi Rosid), 5. Shahrom Abd Kalam (c) (13. Razman Roslan), 15. Raimi Md Nor (3. Azmi Muslim), 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan), 10. Nazmi Faiz Mansor (8. Saiful Ridzuwan Selamat), 21. Hafiz Kamal (23. S Veenod), 11. Ahmad Hazwan Bakri (25. R Gopinathan), 16. Mauro Olivi (9. Adam Nor Azlin), 4. Patrick Ronaldinho Wleh (14. Abdul Hadi Yahaya)

SARAWAK: 21. Iqbal Suhaimi, 12. Ramesh Lai, 2. Ronny Harun (c), 29. Davide Grassi, 34. Riduwan Maon, 7. K Partiban, 9. Roberto, 15. K Gurusamy, 11. Ashri Chuchu, 20. Shreen Tambi, 18. Syahrul Azwari Ibrahim.

Pengadil: Logeswaran