Pramusim 2016: Selangor 2 Kuala Lumpur 1

Selangor mencatat kemenangan kedua berturut pada perlawanan pramusim 2016 selepas menewaskan pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Selayang, malam tadi.

Pada aksi sulung pramusim minggu lalu, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu berjaya menewaskan Sarawak 2-0 di gelanggang sama.

Malam tadi, Selangor ketinggalan kepada skuad bimbingan Ismail Zakaria menerusi jaringan Anselmo Arruda Da Silva pada minit ke-49 sebelum bangkit membalas dua gol menerusi Mauro Olivi (52′) dan Patrick Ronaldinho Wleh (72′).

Sama seperti ketika aksi bertemu Sarawak, Selangor nyata menguasai sepenuhnya separuh masa pertama tetapi dinafikan kehebatan penjaga gol Kuala Lumpur, Badrulzaman Halim yang beraksi cemerlang.

Ronaldinho yang menggelecek dua pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-23 sekadar menyaksikan percubaannya ditepis keluar Badrulzaman dan susulan sepakan sudut selepas itu menyaksikan rembatan Olivi berjaya diselamatkan penjaga gol Kuala Lumpur itu.

Pada minit ke-35, Olivi melepaskan sepakan deras dalam kotak penalti tetapi berjaya juga ditepis keluar oleh Badrulzaman.

Ketika permainan memasuki masa kecederaan separuh masa pertama, Kuala Lumpur terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain pertahanan kanan, Helmi Remeli dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Selangor.

Biarpun kekurangan seorang pemain, Kuala Lumpur berjaya mendahului 1-0 hanya selepas empat minit babak kedua bersambung menerusi rembatan cantik penyerang import dari Brazil, Anselmo yang berjaya menewaskan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.

Namun Selangor tidak menunggu lama untuk membalas apabila Olivi melakukan penyudah kemas bagi menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-52.

Zainal kemudian melakukan dua pertukaran awal pada minit ke-56 dengan membawa masuk Raimi Md Nor dan Ahmad Hazwan Bakri menggantikan Azmi Muslim dan Andik Vermansah bagi memberi tenaga baharu.

Pada minit ke-60, Selangor hampir di depan tetapi tandukan Ronaldinho selepas menerima hantaran lintang Olivi dari sebelah kiri sekadar menggegar palang gol Kuala Lumpur.

Selangor selepas itu melakukan enam lagi pertukaran dengan membawa masuk Fittri Shazwan Raduwan dan Bunyamin Umar pada minit ke-63, S Veenod (64′), Rizal Fahmi Rosid (68′), Saiful Ridzuwan Selamat (70′) dan Abdul Hadi Yahaya (71′).

Hasilnya gol kedua berjaya diperoleh menerusi tandukan Ronaldinho selepas sepakan sudut yang berjaya menewaskan Badrulzaman pada minit ke-72 untuk Selangor mendahului 2-1.

Zainal melakukan pertukaran kesembilan dan terakhir pada minit ke-79 apabila memasukkan penyerang muda, Adam Nor Azlin menggantikan Ronaldinho.

Adam Nor hampir menambah jaringan Selangor pada masa kecederaan, namun sepakan derasnya dalam kotak penalti Kuala Lumpur sedikit tersasar.

Selangor selepas ini akan meneruskan perlawanan pramusim bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Jumaat ini.

SELANGOR: 1 Mohd Khairul Azhan Khalid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (12. Bunyamin Umar), 5. Shahrom Abd Kalam (c), 13. Razman Roslan (17. Rizal Fahmi Rosid), 3. Azmi Muslim (15. Raimi Md Nor), 7. Andik Vermansah (11. Ahmad Hazwan Bakri), 10. Nazmi Faiz Mansor (8. Saiful Ridzuwan Selamat), 21. Hafiz Kamal (23. S Veenod), 25. R Gopinathan (24. Fittri Shazwan Raduwan), 16. Mauro Olivi (14. Abdul Hadi Yahaya), 4. Patrick Ronaldinho Wleh (9. Adam Nor Azlin).

KUALA LUMPUR: 22. Badrulzaman Halim (1. Syamim Ramli), 21. Helmi Remeli, 19. Ahmad Azlan Zainal (c) (6. Naufal Naim Tony Rosdin), 4. Leonardo Moreira De Carvalho, 3. Nik Zul Aziz Nawawi (14. Zaiful Abd Hakim), 27. Hafiz Johar (8. Halim Zainal), 15. Modibo Konte (18. Rashid Aya), 29. Mario Karlovic (13. Rosdi Zakaria), 23. Naim Nazmi Zainuddin (17. Arif Anwar)(11. Isma Alif Salim), 26. Anselmo Arruda Da Silva (12. Shoufiq Khusaini), 20. Zhafri Yahya (28. Irfan Zakaria)

Pengadil: Tuan Mohd Yassin