Pramusim 2016: Pulau Pinang 1 Selangor 0

Selangor tewas 1-0 kepada pendatang baharu Liga Super, Pulau Pinang pada perlawanan ketiga pramusim 2016 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.

Jaringan tunggal bekas penyerang Harimau Muda C, Jafri Firdaus Chew pada minit ke-83 memberikan kekalahan sulung buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu selepas menang dua aksi sebelum ini menewaskan Sarawak 2-0 dan Kuala Lumpur 2-1.

Selangor bagaimanapun turun tanpa empat pemain – penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh, pemain sayap, R Gopinathan, pertahanan import, Robert Cornthwaite serta penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang direhatkan Zainal untuk perlawanan malam tadi.

Selepas 18 minit permainan, percubaan berbahaya pertama Selangor hadir menerusi penyerang, Abdul Hadi Yahaya yang berjaya melepasi perangkap ofsaid, namun sepakannya berjaya dihadang kemas penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani.

Tiga minit berselang, giliran Andik Vermansah menguji Sani Anuar tetapi rembatan kaki kiri pemain sayap import dari Indonesia itu dari dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol Pulau Pinang itu.

Kelihatan buntu untuk menembusi benteng Selangor diterajui Shahrom Kalam dan Razman Roslan, jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F Thiago melakukan pertukaran awal pada minit ke-28 dengan membawa masuk bekas penyerang Harimau Muda B, Faizat Ghazli menggantikan Zharif Hasna.

Seminit kemudian, Pulau Pinang beroleh peluang tepat pertama mereka tetapi rembatan pemain sayap, Faiz Subri mudah ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selangor turut berpeluang menembusi gawang Pulau Pinang selepas itu tetapi percubaan dalam kotak penalti pemain pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham berjaya dihadang keluar Sani Anuar pada minit ke-33.

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Pulau Pinang melakukan tiga pertukaran pemain sebaik babak kedua bermula dan pada minit ke-49, Faizat berjaya memperdaya dua pertahanan Selangor tetapi percubaannya dapat dihadang kemas oleh Norazlan.

Zainal kemudian melakukan tiga pertukaran pertamanya pada minit ke-55 dengan membawa masuk Bunyamin Umar, Fittri Shazwan Raduwan dan Azmi Muslim disusuli dua pertukaran pada minit ke-59 dengan memasukkan Rizal Fahmi Rosid dan S Veenod.

Tiga lagi pertukaran pemain Selangor menyusul secara berperingkat selepas itu apabila Zainal memasukkan Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-72, Adam Nor Azlin minit ke-75 dan penjaga gol muda, Zarif Irfan Hashimuddin minit ke-80.

Namun Pulau Pinang akhirnya berjaya memperoleh gol tunggal kemenangan pada minit ke-83 apabila Jafri menanduk tepat bola sepakan pemain gantian, Elias Sulaiman ke gawang Selangor untuk menewaskan Zarif Irfan.

Peluang terbaik Selangor untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-86, namun tandukan Fittri Shazwan selepas menerima bola hantaran lintang Raimi Md Nor dari sebelah kanan sedikit tinggi melewati palang gol Pulau Pinang.

Skuad Selangor akan terus terbang ke Bangkok, Thailad dari Pulau Pinang, hari ini untuk menghadapi dua perlawanan pramusim di sana bertemu Nakhon Pathom United FC pada Ahad dan Samut Songkhram BTU FC pada Isnin.

PULAU PINANG: 22. Sani Anuar Kamsani (1. Firdaus Muhamad), 18. Mazlizam Mohamad (24. Nursalam Zainal Abidin), 16. Darwira Sazan, 5. Mat Saiful Mohamad (12. Elias Sulaiman), 20. Rafiuddin Roddin (c), 13. Faiz Subri (27. Jafri Firdaus Chew), 11. Azrul Ahmad (14. Syukur Saidin), 9. Fauzan Dzulkifli (26. S Kumaahran), 8. Zharif Hasna (17. Faizat Ghazli), 7. Matias Cordoba (37. Syameer Kutty Abba), 21. Failee Ghazli (2. Mafry Balang).

SELANGOR: 22. Norazlan Razali (30. Zarif Irfan Hashimuddin), 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (12. Bunyamin Umar), 5. Shahrom Abd Kalam (c) (17. Rizal Fahmi Rosid), 13. Razman Roslan, 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah (3. Azmi Muslim), 10. Nazmi Faiz Mansor (8. Saiful Ridzuwan Selamat), 21. Hafiz Kamal (23. S Veenod), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 16. Mauro Olivi (9. Adam Nor Azlin), 14. Abdul Hadi Yahaya (24. Fittri Shazwan Raduwan).

Pengadil: Nazmi Nasaruddin