Pra-Piala Malaysia: Selangor 1 Kedah 1

Selangor mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kedah pada perlawanan persahabatan pertama pra-Piala Malaysia 2014 di Padang SUK, Shah Alam, malam tadi.

Kedah mendahului 1-0 menerusi jaringan bekas pemain import Selangor musim lalu, Adam Griffiths pada minit ke-28 sebelum disamakan penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-46.

Biarpun sekadar seri, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic tetap gembira dengan persembahan para pemainnya sambil teruja melihat kehadiran kira-kira 2,000 penyokong setia Merah Kuning dan juga penyokong pasukan pelawat.

“Saya cukup gembira dengan persembahan menarik para pemain. Kami sepatutnya mungkin boleh menang dengan jaringan besar, empat atau lima gol berdasarkan peluang diperolehi.

“Tapi secara jujurnya persembahan kedua-dua pasukan sedikit terganggu dengan keadaan padang yang kurang baik. Apa pun untuk perlawanan pertama, saya gembira.

“Lagipun saya beri peluang kepada semua pemain dan kita patut boleh menang walaupun ia hanya sekadar perlawanan persahabatan,” kata Durakovic kepada FASelangor.my selepas perlawanan.

Pengendali berusia 49 tahun itu menurunkan bayangan kesebelasan utamanya kecuali merehatkan penjaga gol utama, Farizal Marlias untuk memberi peluang kepada penjaga gol ketiga, Syamim Othman beraksi pada babak pertama dan penjaga gol kedua, Hamsani Ahmad pada babak kedua.

Syamim membalas kepercayaan diberi Durakovic apabila beraksi cemerlang sepanjang 45 minit pertama termasuk menghadang percubaan Baddrol Bakhtiar ketika situasi satu lawan satu pada minit ke-19.

Namun gawangnya bocor juga pada minit ke-28 apabila Kedah berjaya memperolehi gol pertama hasil tandukan Griffiths selepas menerima bola sepakan percuma Baddrol dari sebelah kanan.

Bersambung babak kedua, Selangor hanya memerlukan seminit untuk menyamakan kedudukan selepas Ahmad Hazwan menanduk cantik ke belakang bola sepakan percuma Andik Vermansah dari sebelah kiri untuk memerangkap penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Hamid.

Selepas itu, Selangor dihidang beberapa lagi peluang terbaik menerusi penyerang import, Paulo Rangel dan Ahmad Hazwan sendiri tetapi sama ada ia diselamatkan Abdul Hadi atau sedikit tersasar untuk kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Selangor seterusnya akan bertemu Pulau Pinang untuk perlawanan persahabatan kedua di Stadium Selayang, jam 9.45 malam pada Khamis ini.

SELANGOR: 1. Syamim Othman (21. Hamsani Ahmad ’45), 12. Bunyamin Umar (c) (17. Rizal Fahmi Ab Rosid ’64), 4. Steve Pantelidis (2. Shazlan Alias ’79), 5. Shahrom Kalam (27. Evaldo Silva dos Santos ’64), 3. Azmi Muslim (18. P Rajesh ’81), 16. S Kunanlan, 23. S Veenod (20. A Thamil Arasu ’72), 8. Nazmi Faiz Mansor (6. Shukur Jusoh ’56), 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’56), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 9. Paulo Rangel (19. Afiq Azmi ’79).

KEDAH: 1. Abdul Hadi Hamid, 16. Fazliata Taib (33. Hanif Mat Dzahir ’64), 3. Adam Griffiths (5. Jose Franco Gomez ’45), 13. Khairul Helmi Johari (c) (27. Osman Yusoff ’81), 6. Shafizan Hashim (17. Azmizi Azmi ’45), 15. Rizal Ghazali (14. Syamim Alif Sobri ’45), 31. Syazwan Tajuddin, 7. Baddrol Bakhtiar (34. Adam Aidil Iskandar Rosli ’79), 35. Farhan Roslan (32. Syafiq Ahmad ’45), 50. Namkung Woong (4. Syazwan Zainon ’72), 9. Billy Mehmet (18. Khyril Muhymeen Zambri ’72).