Skuad B-21 Selangor terus mempamerkan kebangkitkan cemerlang dalam saingan Piala Presiden 2017 selepas berjaya meraih kemenangan ketiga berturut dengan membelasah pasukan tercorot, ATM 6-1, petang semalam.

Pada aksi keenam Kumpulan B di Stadium Mini Majlis Perbandaran Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi itu, Selangor mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi penyudah Azizul Baharuddin pada minit ke-25 serta dua jaringan D Kugan minit ke-45 & pada masa kecederaan.

A Namathevan menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-51 diikuti sepakan penalti Kugan untuk melengkapkan hatriknya pada minit ke-71 sebelum M Tamil Maran menjaringkan gol keenam pada minit ke-86.

“Pemain telah melakukan yang terbaik, beraksi mengikut apa yang dirancang. Setiap peluang dicipta berjaya disempurnakan dengan baik.

“Tapi masih ada lagi perkara yang saya tak puas hati terutama dari segi ‘urgency’ dan pada situasi tertentu pemain seperti mengambil mudah.

“Apa pun kredit harus diberikan kepada para pemain dengan enam gol yang terhasil pada perlawanan ini,” kata penolong jurulatih skuad Piala Presiden Selangor, Nazliazmi Mohd Nasir kepada faselangor.my.

Namun gawang Selangor bolos juga pada masa kecederaan babak kedua menerusi jaringan Ahmad Afiq Asyraf Khalid untuk menamatkan permainan dengan keputusan 6-1.

“Kita sedikit leka pada penghujung perlawanan sehingga menyebabkan ATM berjaya juga mendapatkan satu gol. Apa pun secara keseluruhan saya tetap berpuas hati dengan tiga mata penuh yang diperoleh ini,” jelas Nazliazmi.

Terdahulu Selangor memulakan kempen Piala Presiden 2017 dengan rentak perlawanan apabila sekadar seri pada dua aksi awal berturut-turut sebelum tewas pada perlawanan ketiga.

Namun selepas itu, kebangkitan Selangor bermula apabila mula mencipta kemenangan pada perlawanan keempat dengan menewaskan Perak 1-0 diikuti Sabah 2-0 dan terbaharu ATM 6-1.

Selangor kini di tangga keempat Kumpulan B dengan 11 mata, hanya kurang satu mata berbanding tiga pasukan teratas – T-Team, PKNP FC dan Negeri Sembilan yang berkongsi 12 mata.

Saingan Kumpulan A pula diungguli JDT III dengan 14 mata diikuti Felda United (13) dan UiTM FC (12).

Bagi perlawanan ketujuh, Selangor akan bertemu PKNP FC di Stadium Mini 1Malaysia, Chemor pada Isnin ini.