Piala Presiden 2017: Selangor B21 4-0 PKNS FC B21

Skuad B-21 Selangor meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya meraih kemenangan kelima berturut dengan menewaskan PKNS FC 4-0 pada perlawanan kelapan Piala Presiden 2017 di Stadium Mini Majlis Perbandaran Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi, petang semalam.

Kemenangan itu meletakkan Selangor kini mengumpul 17 mata hasil lima menang, dua seri dan sekali tewas untuk buat pertama kalinya merampas tangga teratas Kumpulan B daripada T-Team yang kekal dengan 15 mata selepas pertemuan dengan Negeri Sembilan di Stadium Mini USIM, Nilai terpaksa dibatalkan dan ditangguh ke tarikh lain kerana hujan lebat dan petir.

Pada aksi petang semalam, Selangor kendalian jurulatih Omar Ali mempertaruhkan tiga pemain dari skuad Liga Super iaitu A Namathevan, Badrul Amin Rusalan dan Muhammad Faizzudin Mohd Abidin bagi memperkasakan barisan kesebelasan utama.

Hasilnya, Selangor berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Namathevan pada minit ke-18 disusuli tiga lagi gol pada babak kedua menerusi Badrul Amin minit ke-60, Syazwan Salihin (63) dan Ainol Iskandar Mahsun (73).

Bagi Badrul Amin, 20, pemain tengah yang menjadi arkitek utama Selangor untuk kemenangan kelima pada aksi petang semalam, perasaan teruja dirasainya kerana berjaya meneruskan sentuhan selepas turut menjaringkan satu gol ketika menewaskan PKNP FC 2-0 di Chemor, Isnin lalu.

“Sudah tentu saya secara peribadi berasa sangat gembira dan bangga kerana sudah lama tidak menjaringkan gol dan akhirnya berjaya menamatkan kemarau dengan melakukannya pada dua perlawanan berturut-turut minggu ini.

“Untuk permainan hari ini, saya rasa puas hati kerana kami dapat bermain mengikut apa yang telah dirancang oleh jurulatih.

“Biarpun dalam keadaan hujan, kami dapat bermain baik menerusi permainan bola bawah dan tidak bermain secara long ball,” kata Badrul Amin kepada faselangor.my selepas perlawanan.

Badrul Amin membuat kemunculan sulung bersama skuad senior Selangor pada usia 19 tahun ketika masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-86, aksi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia 2016 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 12 Ogos tahun lalu yang menyaksikan kemenangan 4-1 ke atas Kelantan.

Skuad B-21 Selangor selepas ini akan meneruskan aksi dalam saingan Piala Presiden 2017 bertemu Negeri Sembilan di Stadium Mini USIM, Nilai untuk perlawanan kesembilan pada Khamis depan (27 April 2017).