Piala Malaysia: Selangor 1 T-Team 0

Selangor berjaya melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan T-Team 1-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi untuk muncul naib juara kumpulan.

Kemenangan tipis hasil jaringan tunggal Paulo Rangel pada separuh masa pertama itu sudah cukup untuk Selangor meraih tiga mata penuh tatkala pesaing terdekat, Sime Darby FC tewas 3-1 kepada PDRM di Paroi.

Selesai enam perlawanan, PDRM teratas dengan 16 mata diikuti Selangor 10 mata, Sime Darby 6 mata dan T-Team 3 mata, sekali gus Selangor memperbaiki pencapaian musim lalu apabila mereka gagal ke suku akhir.

Di suku akhir nanti, Selangor akan bertemu juara Kumpulan A, Felda United yang dibimbing bekas jurulatih Selangor musim lalu, Irfan Bakti Abu Salim manakala PDRM berdepan naib juara Kumpulan A yang juga juara bertahan, Pahang.

Pada perlawanan malam tadi, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic kembali mempertaruhkan Farizal Marlias di gawang selepas Hamsani Ahmad menggalas tugas itu ketika mereka seri 1-1 dengan PDRM di Paroi, Sabtu lalu.

Namun tonggak pertahanan, Shahrom Kalam tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan buku lali dan tempatnya digantikan Steve Pantelidis yang turun ke posisi pertahanan untuk Nazmi Faiz Mansor kembali bergandingan dengan S Veenod di posisi tengah.

Gol pertama Selangor terhasil pada minit ke-25 menerusi Rangel yang berjaya mengatasi pemain pertahanan T-Team untuk menanduk masuk bola sepakan penjuru Andik Vermansah.

Andik bagaimanapun gagal meneruskan permainan akibat kecederaan dan Durakovic membawa masuk Azmi Muslim pada minit ke-29.

S Kunanlan yang pada asalnya beraksi selaku bek kiri naik ke posisi sayap menggantikan tempat Andik manakala Azmi kembali mengisi posisi bek kiri itu.

Pada minit ke-37, Selangor memperolehi peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi Rangel yang berada dalam kotak penalti sekadar melepaskan rembatan kencang yang sedikit melewati gawang T-Team dikawal Wan Azraie Wan Teh.

Dua minit kemudian, Ahmad Hazwan Bakri melakukan lorongan bola cukup baik dari sebelah kiri, namun Rangel sedikit lewat untuk menyambar bola itu di depan gawang T-Team.

Pada masa kecederaan babak pertama, Kunanlan pula melakukan hantaran baik dari sebelah kiri tetapi Rangel yang berada di depan gol sekadar melakukan penyudah sedikit sipi.

Sebaik separuh masa kedua bermula, jurulatih T-Team, Anuar Abu Bakar melakukan pertukaran pertamanya dengan membawa masuk Ahmad Takhiyuddin Roslan menggantikan penyerang import dari Indonesia, Patrich Wanggai.

Selangor terus mendapat peluang menambah jaringan pada minit ke-64 tetapi Ahmad Hazwan yang berjaya melepasi kawalan pertahanan T-Team dan hanya berdepan Wan Azraie kecewa apabila melihat rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat itu.

T-Team berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-70, namun tandukan pemain import, Goran Subara selepas sepakan percuma berjaya ditepis dengan baik oleh Farizal.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias; 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis, 17. Rizal Fahmi Rosid, 16. S Kunanlan; 7. Andik Vermansah (3. Azmi Muslim ’29), 8. Nazmi Faiz Mansor, 23. S Veenod, 24. Fittri Shazwan Raduwan (20. A Thamil Arasu ’79); 11. Ahmad Hazwan Bakri (6. Shukur Jusoh ’90), 9. Paulo Rangel.

T-TEAM: 22. Wan Azraie Wan Teh; 35. Kamal Azizi Zabri, 17. Marzuki Yusof (c) (15. Hafizan Talib ’63), 23. Nuraliff Zainal Abidin, 41. Nik Zul Aziz Nawawi; 31. Sharin Sapien, 5. Hasbullah Awang, 45. Goran Subara, 37. Safawi Rasid (38. Zulhanizam Shafine ’75); 8. Patrich Wanggai (32. Ahmad Takhiyuddin Roslan ’45), 44. Jimmy Mulisa.

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar