Piala Malaysia: Selangor 1 Sime Darby 2

Selangor gagal mengukuhkan peluang untuk menjamin tempat ke suku akhir Piala Malaysia lebih awal selepas tewas mengejut 2-1 kepada Sime Darby FC pada perlawanan keempat Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Sebelum perlawanan, Selangor dilihat tiada masalah untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri selepas menang 2-0 ke atas Sime Darby di Stadium Selayang, Sabtu lalu.

Kekalahan itu sebaliknya membuka semula peluang Sime Darby kendalian Ismail Zakaria yang mengutip tiga mata pertama selepas tewas empat perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Berbaki dua perlawanan, PDRM muncul pasukan pertama layak ke suku akhir apabila meraih 12 mata maksimum selepas menewaskan T-Team 2-1 di Kuala Terengganu manakala Selangor kekal di tangga kedua dengan 6 mata diikuti T-Team dan Sime Darby yang kini berkongsi 3 mata.

Pada aksi malam tadi, Selangor turun kali kedua tanpa kapten, Bunyamin Umar yang masih menjalani penggantungan akibat kad merah dan tugas itu terus digalas Shahrom Kalam yang tetap beraksi meskipun pergelangan tangan kanannya masih berbalut akibat kecederaan ketika aksi Sabtu lalu.

Tidak banyak percubaan berbahaya dihasilkan kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama.

Hanya pada minit ke-18, tandukan Paulo Rangel hasil hantaran Ahmad Hazwan Bakri dari sebelah kanan mencemaskan gawang Sime Darby, namun sedikit sipi.

Pada minit ke-31, penjaga gol Selangor, Farizal Marlias dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan penyerang Sime Darby, Mateo Roskam di luar kotak penalti.

Sepakan percuma berpunca daripada kekasaran itu yang diambil Syukur Saidin berjaya ditanduk baik Fadzli Saari, namun tepat ke dakapan Farizal.

Separuh masa kedua bersambung, Selangor tampak lebih agresif dalam mengatur serangan untuk mendapatkan gol semangat.

Pada minit ke-53, Rangel melakukan sepakan jarak jauh untuk memerangkap Suffian Ab Rahman yang sedikit terkeluar posisi tetapi penjaga gol Sime Darby itu sempat juga menepis bola keluar.

Susulan sepakan penjuru yang diberi selepas itu, Shahrom melepaskan rembatan dari luar kotak penalti namun berjaya ditepis Suffian.

Gol pertama Selangor akhirnya terhasil pada minit ke-62 selepas Ahmad Hazwan yang menyambut lorongan cantik Rangel tenang mengawal bola dalam kotak penalti sebelum bekas penyerang Harimau Muda A itu melepaskan sepakan menewaskan Suffian.

Namun kelekaan benteng pertahanan Selangor menyebabkan Sime Darby berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-74 menerusi penyudah pemain gantian, Fahrul Razi Kamaruddin selepas percubaan awal oleh Roskam berjaya ditepis Farizal.

Pada minit ke-81, Sime Darby berjaya memperolehi gol kemenangan selepas Roskam berjaya menanduk masuk hantaran lintang Juzaili Samion dari sebelah kanan selepas penyerang import itu mengatasi Farizal ketika perebutan bola di udara.

Kesilapan Farizal itu mengundang kemarahan jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic yang terus memasukkan penjaga gol simpanan, Hamsani Ahmad menggantikannya dua minit kemudian.

Meskipun Selangor cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan dengan membawa masuk dua tenaga baru, A Thamil Arasu dan Fittri Shazwan Raduwan, gawang Sime Darby tetap gagal untuk dibolosi kali kedua.

Selangor selepas ini akan bertemu PDRM untuk perlawanan kelima Kumpulan D di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias (21. Hamsani Ahmad ’83);16. S Kunanlan, 17. Rizal Fahmi Rosid, 5. Shahrom Kalam (c), 3. Azmi Muslim; 11. Ahmad Hazwan Bakri, 23. S Veenod (24. Fittri Shazwan Raduwan ’88), 4. Steve Pantelidis, 8. Nazmi Faiz Mansor (20. A Thamil Arasu ’88), 7. Andik Vermansah; 9. Paulo Rangel.

SIME DARBY FC: 22. Suffian Ab Rahman; 18. Juzaili Samion (c), 15. Yosri Dermaraju, 4. William Mensah, 21. K Prabakaran; 3. Rafizi Hamdan (7. Fahrul Razi Kamaruddin ’61), 20. Fadzli Saari, 8. Syukur Saidin, 14. Mahmoud Al Amna (9. Dilshod Sharofetdinov ’69), 38. Dzulfahmi Abdul Hadi (34. Nazrul Kamaruzaman ’70) ; 26. Mateo Roskam.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob