Piala Malaysia: Selangor 0 PDRM 2

Selepas memulakan kempen Piala Malaysia dengan kemenangan 2-1 ke atas T-Team di Kuala Terengganu pada Rabu lalu, Selangor mengalami kekalahan pertama selepas tewas 2-0 kepada PDRM di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kekalahan itu meletakkan Selangor kini turun ke tangga ketiga Kumpulan D dengan tiga mata di belakang pendahulu, PDRM kendalian Azman Adnan yang mengumpul enam mata maksimum.

T-Team pula naik ke tangga kedua dengan tiga mata selepas menewaskan Sime Darby 2-1 untuk meletakkan Sime Darby tercorot tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Shah Alam malam tadi, segalanya mula menjadi sukar buat Selangor apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas ketua pasukan, Bunyamin Umar dilayangkan kad merah pada awal permainan.

Bunyamin yang cuba menghalang Ashfaq Ali melakukan percubaan ketika hanya berdepan penjaga gol, Farizal Marlias terpaksa menjatuhkan penyerang import PDRM itu, sekali gus dilayangkan kad merah dan PDRM dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-12.

Sepakan penalti itu disudahkan sendiri Ashfaq pada minit ke-14 untuk gol pertama PDRM.

Dengan ketiadaan Bunyamin untuk tempoh 78 minit baki permainan, tugas kapten digalas seorang lagi pemain pertahanan, Shahrom Kalam.

Percubaan tepat pertama Selangor kemudian hanya hadir pada minit ke-22 tetapi rembatan kaki kiri pemain sayap, Andik Vermansah sekadar mudah untuk didakap kemas penjaga gol PDRM, Azizon Kadir.

Biarpun Selangor dilihat mampu menyaingi permainan 10 lawan 11 pemain, namun kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, PDRM memberi amaran awal menerusi percubaan Ashfaq hasil serangan balas minit ke-46, mujur rembatan kaki kirinya sempat diselamatkan Farizal.

Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-54 apabila Paulo Rangel berjaya menguis baik bola sepakan percuma Azmi Muslim dari sebelah kanan tetapi ia sekadar menggegar tiang gol PDRM selain penjaga garisan sudah pun mengangkat bendera ofsaid.

Namun PDRM pula yang berjaya menambah gol kedua pada minit ke-67 selepas penyerang import gantian mereka, Charles Souza Chad melepaskan rembatan kencang kaki kanan dari dalam kotak penalti selepas menerima lorongan baik Bobby Gonzales.

Ketinggalan dua gol, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic membawa masuk A Thamil Arasu menggantikan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-68 dan Shukur Jusoh menggantikan S Veenod minit ke-72 untuk cuba mencari gol semangat.

Bagaimanapun usaha itu gagal apabila kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat untuk kekalahan Selangor di laman sendiri.

Menurut Durakovic, kehilangan Bunyamin seawal minit ke-12 menjadi punca pasukannya mengalami kesukaran untuk menyaingi PDRM pada baki perlawanan selepas itu.

“Sepanjang 10 minit awal, kami berjaya menguasai permainan tetapi selepas terpaksa beraksi 10 pemain, ia bukan sesuatu yang mudah kerana PDRM sebuah pasukan yang cukup baik.

“Kami cuba juga untuk sekurang-kurangnya mendapat keputusan seri tetapi sekali lagi kesilapan menghukum kami untuk PDRM memperolehi gol kedua.

“Tapi saya tetap gembira dengan persembahan 10 pemain di atas padang kerana mereka tetap cuba mencari gol. Inilah bola sepak, kalau kita gagal menyempurnakan peluang menjadi gol, kita takkan mencapai kemenangan,” kata Durakovic selepas perlawanan.

Selangor selepas ini akan bertemu Sime Darby untuk perlawanan ketiga Kumpulan D di Stadium Selayang, Sabtu ini.

SELANGOR: 25-Farizal Marlias; 12-Bunyamin Umar (c), 4-Steve Pantelidis, 5-Shahrom Kalam, 3-Azmi Muslim; 16-S Kunanlan, 8-Nazmi Faiz Mansor, 23-S Veenod (6-Shukur Jusoh ’72), 7-Andik Vermansah; 14-Abdul Hadi Yahya (20-A Thamil Arasu ’68), 9-Paulo Rangel.

PDRM: 21-Azizon Kadir; 17-V Thirumurugan (2-Sabre Mat Abu ’90), 19-Afif Amiruddin, 24-Muslim Ahmad (c), 4-Rafael Souza, 5-Fadhil Hashim; 26-Mohamadou Sumareh (10-Charles Souza Chad ’63), 8-Ahmad Ezrie Shafizie, 13-Fauzi Majid; 9-Bobby Gonzalez (6-Munir Amran ’74), 7-Ashfaq Ali.

PENGADIL: Samsuddin Ibrahim