Piala Malaysia: PDRM 1 Selangor 1

Selangor sekadar berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan selepas seri 1-1 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan kelima Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu kini perlu mengatasi T-Team pada perlawanan terakhir kumpulan D di Stadium Shah Alam, Rabu ini untuk mengiringi PDRM ke suku akhir, sambil mengharapkan Sime Darby tidak mencatat kemenangan ke atas pendahulu Kumpulan D itu di Paroi.

Berbaki satu perlawanan, PDRM kendalian Azman Adnan sudah pun sah bergelar juara Kumpulan D dengan mengumpul 13 mata diikuti Selangor 7 mata, Sime Darby 6 mata dan T-Team yang sudah pun tersingkir dengan hanya 3 mata.

Pada perlawanan malam tadi, Selangor berjaya mendahului PDRM seawal minit ke-11 menerusi penyudah kemas Andik Vermansah menerusi satu serangan pantas dimulakan kapten, Bunyamin Umar yang kembali beraksi selepas penggantungan dua perlawanan akibat kad merah.

Hanya dua minit selepas separuh masa kedua bersambung, gawang PDRM dikawal Azizon Kadir sekali lagi bocor tetapi jaringan dilakukan Paulo Rangel itu dibatalkan pengadil kerana penyerang import Selangor dari Brazil itu sudah pun berkedudukan ofsaid.

PDRM akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-84 menerusi penyerang gantian, Alafi Mahmud yang berjaya merembat bola masuk menewaskan Hamsani Ahmad ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol selepas sepakan sudut.

Dua minit kemudian, PDRM pula hampir mendapat gol kemenangan tetapi bola sepakan lencong kapten, Muslim Ahmad dari sebelah kiri kotak penalti sempat ditanduk keluar pemain gantian Selangor, Fittri Shazwan Raduwan di atas garisan gol ketika Hamsani sudah pun tertewas.

Tiada tambahan gol sehingga wisel penamat untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata.

PDRM: 21. Azizon Kadir; 17. V Thirumurugan, 19. Afif Amiruddin, 24. Muslim Ahmad (c), 4. Rafael Souza (26. Mohamadou Sumareh ’71), 5. Fadhil Hashim (2. Sabre Mat Abu ’90); 8. Ahmad Ezrie Shafizie, 13. Fauzi Majid, 7. Ashfaq Ali; 9. Bobby Gonzalez (14. Alafi Mahmud ’76), 10. Charles Souza Chad.

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad; 12. Bunyamin Umar (c) (24. Fittri Shazwan Raduwan ’74), 17. Rizal Fahmi Rosid, 5. Shahrom Kalam, 3. Azmi Muslim; 16. S Kunanlan, 4. Steve Pantelidis, 8. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah; 11. Ahmad Hazwan Bakri (20. A Thamil Arasu ’82), 9. Paulo Rangel.

PENGADIL: Nagor Amir Noor Mohamed