Piala Malaysia: Kelantan 1 Selangor 4

Juara bertahan, Selangor berjaya menempah tempat ke suku akhir selepas menewaskan Kelantan 4-1 pada perlawanan kelima Kumpulan B di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi meskipun beraksi 10 pemain pada hampir keseluruhan babak kedua.

Pemain sayap, R Gopinathan mencetak dua gol manakala Abdul Hadi Yahaya dan Patrick Ronaldinho Wleh masing-masing menyumbang satu gol untuk kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad Red Giants itu sejak dibimbing jurulatih sementara, K Gunalan.

Kelantan bagaimanapun menguasai 20 minit awal permainan babak pertama meskipun jurulatih Velizar Popov merehatkan pemain-pemain utamanya termasuk kesemua pemain import memandangkan mereka sudah pun layak ke suku akhir selepas menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Selayang, Selasa lalu.

Namun Selangor yang kurang mendapat peluang berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti Abdul Hadi selepas Patrick diterjah keras penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail di depan pintu golnya.

Dua minit berselang, Selangor berjaya menambah pula gol kedua selepas Gopinathan bijak menyudahkan bola lorongan Ronaldinho dari sebelah kanan.

Selangor terus selesa di hadapan pada minit ke-27 selepas Ronaldinho pula mudah menolak masuk bola hantaran ketua pasukan, Andik Vermansah dari sebelah kiri untuk gol ketiga pasukan pelawat.

Kelantan bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan 3-1 menerusi sepakan penalti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-36 selepas kaptennya, Indra Putra Mahayuddin dijatuhkan pertahanan import Selangor, Ugochukwu Ukah.

Bersambung babak kedua, Selangor terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-47 selepas pertahanan kanan, Bunyamin Umar dibuang padang apabila dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran terhadap Mohd Noor Hazrul Mustafa.

Biarpun kekurangan seorang pemain, Selangor berjaya menambah gol keempat pada minit ke-57 selepas Gopinathan mudah menolak masuk bola lantunan percubaan awal Ronaldinho yang dihadang Shahrizan untuk gol kedua peribadi pemain sayap itu.

Hanya percubaan penyerang gantian, Abdul Manaf Mamat pada minit ke-85 yang menggegar tiang gol kiri Selangor untuk menyaksikan gawang dikawal Khairulazhan Khalid terus gagal dibolosi lagi oleh pasukan tuan rumah untuk kedudukan 4-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Dengan kemenangan itu, Selangor berjaya merampas tangga teratas Kumpulan B dengan kelebihan perbezaan gol daripada Kelantan dengan kedua-dua pasukan mengumpul 10 mata diikuti Pahang 6 mata dan Kuala Lumpur 3 mata.

Selepas ini, Selangor akan bertemu Terengganu untuk perlawanan ke-18 Liga Super di Stadium Shah Alam, Selasa ini sebelum berdepan pula Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Selayang pada Sabtu (20 Ogos).

Suku akhir Piala Malaysia dijadual pada 27/28 Ogos dan 17/18 September dengan Selangor akan berdepan pasukan-pasukan dari Kumpulan C – Perak, PDRM, PKNS atau JDT.

KELANTAN: 30. Shahrizan Ismail, 15. Daudsu Jamaludin, 33. Faris Shah Rosli, 24. Zairul Fitree Ishak, 13. Mohd Noor Hazrul Mustafa, 29. Faizal Abu Bakar (32. Danial Ashraf Abdullah 46′), 18. Amir Zikri Pauzi, 23. Indra Putra Mahayuddin (C), 8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, 9. Khairul Izuan Rosli (14. Abdul Manaf Mamat 60′), 17. Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (10. Nor Farhan Muhammad 63′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar, 17. Rizal Fahmi Rosid, 18. Ugochukwu Ukah, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (C) (11. Ahmad Hazwan Bakri 81′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (33. Badrul Amin Rusalan 86′), 23. S Veenod, 25. R Gopinathan (9. Adam Nor Azlin 68′), 14. Abdul Hadi Yahaya, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: S Sittharajanan