Piala Malaysia: Felda Utd 3 Selangor 3

Selangor mendahului 3-1 untuk seketika melakukan kebangkitan penuh dramatik sebelum akhirnya akur untuk sekadar seri 3-3 dengan Felda United pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Temerloh, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Selangor gagal meneruskan langkah ke separuh akhir selepas tewas 7-3 menerusi agregat ekoran kekalahan 4-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, 3 Oktober lalu.

Hadir dengan misi untuk membalas defisit empat gol, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utama.

Pengendali berusia 49 tahun itu menyenaraikan penjaga gol Hamsani Ahmad, Shahrom Kalam dan Afiq Azmi untuk meletakkan Farizal Marlias, Azmi Muslim dan S Veenod di bangku simpanan.

Di hadapan kira-kira 10,000 penonton, Selangor berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi penyudah penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel selepas menyambut bola hantaran Afiq dari sebelah kiri pada minit ke-30.

Namun Felda United kendalian Irfan Bakti Abu Salim berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi penyerang import dari Liberia, Edward Junior Wilson selepas percubaan awal oleh Ndumba Makeche berjaya ditepis Hamsani.

Ia tidak melunturkan semangat Selangor yang berjaya menambah gol kedua pada minit ke-52 menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti oleh pemain sayap import dari Indonesia, Andik Vermansah yang gagal diselamatkan penjaga gol Felda United, Farizal Harun.

Selangor kemudian terus selesa mendahului 3-1 pada minit ke-62 menerusi rembatan kencang Rangel selepas menyambut hantaran Andik dari sebelah kanan untuk seketika berjaya merapatkan agregat 5-3.

Momentum Selangor bagaimanapun dimusnahkan gol kedua Felda United pada minit ke-69 hasil rembatan Junior Wilson dari dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan Hamsani untuk kedudukan 3-2 dan agregat menjadi 6-3.

Usaha Selangor untuk mencari tiga lagi gol bagi mengikat agregat 6-6 bagaimanapun musnah pada minit ke-85 selepas pemain gantian, Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol penyamaan 3-3 buat Felda United terus menjarakkan agregat kepada 7-3.

Dengan tersingkirnya Selangor daripada saingan Piala Malaysia bagi edisi 2014 ini, bermakna skuad Red Giants kini sudah sembilan musim gagal dalam usaha menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 selepas kali terakhir menjulangnya pada 2005.

Musim ini, Selangor berjaya muncul naib juara Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala dalam saingan Piala FA, Selangor tersingkir seawal pusingan kedua selepas tewas kepada Sarawak.

Bagi Felda United pula, ini kali pertama dalam sejarah pasukan berstatus kelab itu berjaya melangkah ke separuh akhir selepas dua kali kandas di suku akhir dan dua kali lagi tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Felda United yang muncul naib juara Liga Perdana dan Piala FA musim ini bakal bertemu pemenang antara JDT dan Terengganu di separuh akhir nanti.

FELDA UNITED: 30. Farizal Harun; 26. Hasni Zaidi Jamian, 6. Nasriq Baharom, 12. Shukor Adan (c), 18. Aizulridzwan Razali; 15. Raimi Md Nor (23. Indra Putra Mahayuddin ’72), 8. Shahrul Nizam Mustapha (14. K Thanaraj ’86), 10. Zah Rahan Krangar, 11. Ahmad Syamim Yahya; 22. Edward Junior Wilson (3. Yaroslav Krushelnitskiy ’86), 24. Ndumba Makeche.

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad; 12. Bunyamin Umar (c), 5. Shahrom Kalam, 17. Rizal Fahmi Rosid, 16. S Kunanlan; 7. Andik Vermansah (14. Abdul Hadi Yahaya ’75), 4. Steve Pantelidis, 8. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (24. Fittri Shazwan Raduwan ’80); 19. Afiq Azmi, 9. Paulo Rangel.

Pengadil: Suhaizi Shukri