Piala Malaysia: T-Team 1-2 Selangor

Selangor memulakan aksi Kumpulan D Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Dua gol dalam tempoh tiga minit oleh Andik Vermansah (m-51) dan Paulo Rangel (m-53) menidakkan gol pembukaan tuan rumah menerusi Patrich Wanggai pada minit ke-49.

Bermula dari sepak mula oleh T-Team, pasukan pelawat menunjukkan kesungguhan merampas bola namun gerakan pantas Ahmad Hazwan Bakri dan pemenang Kasut Emas Liga Super 2014, Paulo Rangel berjaya dihalang serta sekadar memenangi sepakan sudut awal.

Selang dua minit, hantaran cantik Rangel di sebelah kiri gol T-Team hampir menemui Andik Vermansah namun beliau terlebih dahulu berada di dalam kedudukan ofsaid.

Selangor terus mengasak ke kubu lawan apabila larian ketua pasukan, Bunyamin Umar pada minit ke-8 berakhir selepas beliau dihimpit dua pertahanan lawan di dalam kotak penalti lawan namun pengadil Nagor Amir Noor Mohamed tidak melihat sebarang kekasaran berlaku.

Gandingan Bunyamin dan S Kunanlan pada minit ke-17 di bahagian sayap kanan menembusi pertahanan lawan namun hantaran S Kunanlan gagal menemui Hazwan mahupun Rangel di dalam kotak penalti.

T-Team memperolehi peluang terbaik pada minit ke-19 namun sepakan kencang Sharin Sapien ditepis keluar Farizal Marlias di gawang Selangor.

Selang dua minit, Farizal sekali lagi dipaksa menidakkan percubaan penyerang import lawan, Jimmy Mulisa dalam situasi satu lawan satu.

Dua sepakan percuma yang diperolehi Selangor, masing-masing pada minit ke 24 (menerusi Rangel) dan 28 (Andik) juga tidak menggugat penjaga gol T-Team, Wan Azrai Wan Teh.

Gerakan lincah Leandro Dos Santos pada minit ke-36 mencemaskan benteng Selangor selepas beliau berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan sebelum Shahrom Kalam mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Wanggai pula berjaya melepasi barisan pertahanan tengah Merah Kuning namun sepakan lemahnya pada minit ke-38 mudah dibaca Farizal.

Peluang terakhir separuh masa pertama diperolehi Hazwan namun cubaannya untuk memperdaya Wan Azrai sekadar tinggi melepasi palang untuk kedudukan 0-0 dikongsi kedua-dua pasukan.

Separuh masa kedua baru berusia 3 minit apabila tuan rumah membuka tirai jaringan selepas hantaran merbahaya ke dalam kotak penalti Selangor gagal dikeluarkan sebelum Wanggai mencuri kesempatan menewaskan Farizal untuk kedudukan 1-0.

Biarpun begitu, kegembiraan T-Team tidak kekal lama apabila gerakan satu-dua Andik dan Hazwan membolehkan pemain sayap dari Indonesia itu tenang mengawal bola sebelum menolak masuk menewaskan Wan Azrai untuk gol penyamaan.

Dua minit kemudian, Selangor terus mengambil kesempatan menghukum kelalaian benteng lawan. Hazwan sekali lagi bertindak bijak melorongkan bola buat Rangel menjaringkan gol ke-25nya buat Red Giants musim ini untuk pelawat di hadapan buat pertama kali.

Ketinggalan 1-2, jurulatih T-Team Anuar Abu Bakar membawa keluar Muhammad Safawi dan Mulisa serta memasukkan Ramzul Zahini Adenan dan Goran Subara bagi menambah sengat jentera serangan.

Bagaimanapun Selangor hampir menambah jaringan pada minit ke-69 apabila hantaran lintang Azmi Muslim melepasi kesemua pertahanan T-Team dan berjaya menemui Hazwan namun Wan Azrai pantas keluar untuk menghalang.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic turut membuat dua pertukaran apabila membawa keluar Hazwan dan Andik untuk digantikan dengan Abdul Hadi Yahya dan Mohd Fittri Shazwan Raduwan.

Usaha T-Team mencari gol penyamaan tidak menemui kejayaan lantas membolehkan Selangor membawa pulang tiga mata berharga dari aksi sulung ini.

Selangor bakal berhadapan PDRM di Stadium Shah Alam pada Rabu, 20 Ogos untuk aksi Kumpulan D Piala Malaysia seterusnya.

T-TEAM: 22-Wan Azrai Wan Teh, 2-Muhamad Hazwan (20-Mohd Nizad Ayub), 3-Mohd Faizal Muhamad, 5-Mohd Hasbullah, 8-Patrich Wanggai, 17-Mohd Mazuki (c), 31-Sharin Sapien, 37-Muhammad Safawi (24-Muhammad Ramzul Zahini Adenan), 41-Nik Zul Aziz, 43-Leandro Dos Santos, 44-Jimmy Mulisa (45-Goran Subara)

SELANGOR: 25-Mohd Farizal Marlias, 12-Mohd Bunyamin Umar (c), 3-Mohd Azmi Muslim, 4-Steve Pantelidis, 5-Muhammad Shahrom Abd Kalam, 8-Mohd Nazmi Faiz Mansor, 23-S Veenod, 16-S Kunanlan, 7-Andik Vermansah (24-Mohd Fittri Shazwan Raduwan), 11-Ahmad Hazwan Bakri (14-Abdul Hadi Yahya), 9-Paulo Rangel

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed