Piala FA: Selangor 0 (3) Negeri Sembilan 0 (4)

Selangor terkandas seawal pusingan kedua Piala FA 2017 apabila tewas 4-3 kepada Negeri Sembilan menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit berkesudahan seri 0-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Pada penentuan sepakan penalti, hanya sepakan pertama Negeri Sembilan menerusi Noor Hazrul Mustafa berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid manakala selebihnya baki empat sepakan berikutnya berjaya disempurnakan Lee Tuck, Nemanja Vidic, Faizal Abu Bakar dan Bruno Suzuki.

Sementara bagi Selangor pula, tiga sepakan awal berjaya disempurnakan Juliano Mineiro, Razman Roslan dan Francis Forkey Doe sebelum sepakan keempat menerusi Abdul Halim Zainal berjaya diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan, Saiful Amar Sudar disusuli sepakan kelima oleh Ugochukwu Ukah yang sekadar menggegar tiang.

Terdahulu Selangor kendalian P Maniam sepatutnya sudah boleh menamatkan permainan pada masa sebenar 90 minit, namun beberapa peluang terbaik sama ada dipersiakan jentera depan atau berjaya dinafikan Saiful Amar.

Namun pada awal babak permainan, Negeri Sembilan yang dibimbing Asri Ninggal dilihat lebih banyak menguasai permainan dan memperoleh peluang termasuk sepakan deras Tuck dari luar kotak penalti pada minit ke-13 yang berjaya ditepis keluar Khairulazhan.

Forkey Doe kemudian terlepas peluang terbaik untuk membuka jaringan buat Selangor pada minit ke-23 apabila sepakan lencongnya sedikit sipi ke kanan gawang Negeri Sembilan tatkala hanya berdepan dengan Saiful Amar selepas menerima hantaran Victor Astafei dari sebelah kanan.

Pada minit ke-35, sepakan percuma Tuck dari sebelah kanan berjaya ditepis Khairulazhan manakala percubaan depan gol oleh Rizal Fahmi Ab Rosid, tiga minit kemudian berjaya dinafikan Saiful Amar.

Bersambung separuh masa kedua, Mineiro beroleh dua peluang terbaik tetapi sepakan percumanya pada minit ke-50 berjaya ditepis keluar Saiful Amar disusuli percubaan jarak jauh pada minit ke-56 turut berjaya diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan itu.

Pada minit ke-65, Forkey Doe pula sedikit lambat menyambut hantaran Ukah di depan pintu gol Negeri Sembilan disusuli seminit kemudian, tolakannya selepas melepasi kawalan pertahanan Negeri Sembilan sekadar sipi ke kiri gawang pasukan lawan itu.

Negeri Sembilan turut mendapat peluang pada babak kedua tetapi sepakan percuma Tuck pada minit ke-78 berjaya diselamatkan Khairulazhan manakala tandukan bebas Nasriq Baharom selepas sepakan percuma pada minit ke-83 sedikit tinggi melewati palang gol Selangor.

Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-85, namun jaringan Rizal Fahmi itu dibatalkan pengadil selepas pemain Selangor didakwa telah melakukan kekasaran ketika perebutan bola di depan pintu gol Negeri Sembilan.

Selepas itu, peluang terbaik Selangor untuk menamatkan permainan lebih awal hadir pada minit ke-87 tetapi tandukan Forkey Doe di depan pintu gol Negeri Sembilan selepas menerima hantaran Raimi dari sebelah kiri berjaya juga ditepis keluar Saiful Amar untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Sepanjang 30 minit masa tambahan, beberapa percubaan dilakukan kedua-dua pasukan tetap gagal menemui sasaran sehingga memaksa pemenang terpaksa ditentukan ke penentuan sepakan penalti yang akhirnya menyaksikan Negeri Sembilan berjaya melangkah ke pusingan ketiga.

Selangor selepas ini akan menghadapi Felda United untuk perlawanan kelima Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid; 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (4. Abdul Halim Zainal 111′), 23. S Veenod, 3. K Kannan (15. Raimi Md Nor 61′); 28. Juliano Mineiro, 10. Francis Forkey Doe, 30. Victor Astafei (9. Adam Nor Azlin 71′).

NEGERI SEMBILAN: 25. Saiful Amar Sudar; 4. Fauzan Fauzi, 5. Annas Rahmat, 6. Nasriq Baharom (C), 20. Hariri Safii (13. Noor Hazrul Mustafa 70′); 2. Lee Tuck, 26. Nemanja Vidic, 27. Izzudin Zainudin (9. Faizal Abu Bakar 61′), 19. Khairul Anwar Shahrudin; 10. Marko Simic (22. Farderin Kadir 100′), 7. Bruno Suzuki.

Pengadil: S Sittharanjanan