Piala FA: Selangor 0-1 Sarawak

Selangor gagal ke suku akhir Piala FA selepas tewas 1-0 kepada Sarawak pada perlawanan pusingan kedua di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang semalam.

Jaringan tunggal Zamri Morshidi pada minit ke-32 sudah cukup untuk membawa Sarawak ke suku akhir bertemu Felda United biarpun mereka terpaksa beraksi 10 pemain selepas penjaga golnya, Sani Anuar Kamsani dilayangkan kad merah pada minit ke-61.

Terdahulu Sarawak yang dibimbing Robert Alberts lebih awal menguji tuan rumah apabila rembatan kencang Zamri dari sebelah kanan sekadar menggegar jaring tepi gawang gol Selangor yang dikawal Farizal Marlias pada minit ke-2.

Selangor kemudian membalas pada minit ke-13, namun tandukan Paulo Rangel hasil hantaran lintang Fittri Shazwan Raduwan dari sebelah kiri sekadar tepat ke dakapan Sani Anuar.

Namun gawang Selangor akhirnya bocor pada minit ke-32 apabila lontaran jauh kapten Sarawak, Ronny Harun melantun dua kali di depan gawang Selangor sebelum ditanduk masuk oleh Zamri yang tidak dikawal di penjuru pintu gol untuk Sarawak mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor mula mengatur serangan demi serangan namun tetap gagal membolosi gawang Sarawak.

Sepakan percuma Junior Aparecido pada minit ke-40 tepat ke dakapan Sani Anuar disusuli percubaan Rangel empat minit kemudian yang sedikit sipi.

Rembatan dari luar kotak penalti oleh pemain tengah Selangor, K Gurusamy pada masa kecederaan babak pertama turut sekadar tepat ke arah penjaga gol Sarawak itu.

Segalanya tampak bakal berubah apabila Sani Anuar dilayangkan kad merah kerana mengasari Fittri Shazwan di luar kotak penalti pada minit ke-61 disusuli tindakan jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-69.

Andik Vermansah dan Abdul Hadi Yahya dibawa masuk menggantikan Junior dan Shukur Jusoh untuk memberikan tenaga baru dalam jentera serangan Selangor.

Pada minit ke-76, peluang terbaik diperolehi Selangor apabila hantaran cantik Andik ditampan Fittri Shazwan tetapi percubaannya dihadang pula penjaga gol gantian Sarawak, Fadzley Abd Rahim.

Durakovic terus memperkasa serangan dengan membawa masuk pula Hazwan Bakri menggantikan kapten, Bunyamin Umar pada minit ke-82.

Hazwan dijatuhkan Fadzley pada minit ke-90 tetapi permintaan sepakan penalti oleh para pemain Selangor tidak dilayan pengadil.

Selepas tersingkir untuk saingan Piala FA, Selangor perlu kembali memberi fokus kepada saingan Liga Super dan akan bertemu Sime Darby di Stadium MP Selayang, Sabtu ini.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c) (11. Hazwan Bakri ’82), 5. Steve Pantelidis, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan, 6. Shukur Jusoh (14. Abdul Hadi Yahya ’69), 15. K Gurusamy, 24. Fittri Shazwan Raduwan, 10. Junior Aparecido (7. Andik Vermansah ’69), 9. Paulo Rangel.

SARAWAK: 22. Sani Anuar Kamsani, 17. Hairol Mokhtar, 26. Gabor Gyepes, 2. Ronny Harun (c), 12. Ramesh Lai Ban Huat, 7. Zamri Morshidi (6. Mohd Lot Abu Hassan ’59), 8. Reeshafiq Alwi, 15. Junior Eldstal, 11. Ashri Chuchu (3. Mazwandi Zekeria ’90), 9. Rashid Aya, 20. Alireza Abasfard (1. Fadzley Abd Rahim ’65).

Pengadil: Fairuzi Mat Desa