Piala FA: Harimau Muda C 0-2 Selangor

Selangor menepati ramalan untuk melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas berjaya menewaskan skuad B-19 negara, Harimau Muda C 2-0 pada perlawanan pusingan pertama di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang tadi.

Jaringan dua pemain import dari Brazil, Paulo Rangel dan Junior Aparecido pada babak kedua sudah cukup buat skuad kendalian Mehmet Durakovic itu menempah pertemuan pusingan kedua dengan Sarawak di gelanggang sama, 4 Februari depan.

Durakovic hanya mengekalkan empat pemain – Steve Pantelidis, Rizal Fahmi Ab Rosid, K Gurusamy dan Rangel dalam kesebelasan utamanya sambil Farizal Marlias, Fitri Shazwan Raduwan dan Junior diletakkan di bangku simpanan.

Manakala empat lagi pemain dari kesebelasan ketika menewaskan T-Team 2-0 pada aksi sulung Liga Super Sabtu lalu, direhatkan dan tiada langsung dalam senarai 18 pemain petang tadi iaitu kapten Bunyamin Umar, Azmi Muslim, S Kunanlan dan Shukur Jusoh.

Ia memberi peluang buat Hamsani Ahmad, Raimi Md Nor, Andik Vermansah, S Veenod dan Hazwan Bakri membuat penampilan sulung bersama dua lagi pemain, Abdul Hadi Yahya dan P Rajesh yang masuk sebagai pemain gantian, Sabtu lalu untuk kesebelasan berdepan Harimau Muda C.

Pada separuh masa pertama, peluang terbaik Selangor diperolehi menerusi rembatan kencang Abdul Hadi pada minit ke-29 yang bagaimanapun hanya menggegar jaring tepi.

Gawang Harimau Muda C sekali lagi hampir bolos pada minit ke-45 tetapi pemain pertahanan, Amirul Hafizul Samsol berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol sebelum sempat disambar Rangel.

Bersambung separuh masa kedua, Harimau Muda C kendalian jurulatih baru, Hassan Sazali Mohd Waras yang menggantikan Aminuddin Hussin nyaris mengejutkan Selangor menerusi serangan balas pada minit ke-48, namun percubaan penyerang berjersi nombor 10, Jafri Firdaus sekadar tepat ke dakapan Hamsani.

Tersentak dengan percubaan itu, Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-51 apabila sepakan percuma Abdul Hadi gagal ditangkap kemas penjaga gol Harimau Muda C, Ahmad Syihan Hazmi lalu pantas disambar Rangel yang mudah menolak masuk untuk gol pertama Selangor.

Namun Harimau Muda C tidak berputus asa dan selang dua minit kemudian, tandukan Arif Anwar hampir menghasilkan gol penyamaan sebelum Hamsani melayangkan badan menepis bola keluar.

Gurusamy yang ditugaskan sebagai kapten pada perlawanan petang tadi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-56 selepas mengalami sedikit kecederaan dan lilitan lengan kapten diberikan kepada Hamsani untuk baki perlawanan.

Sisa perjuangan Harimau Muda C lebur pada minit ke-72 selepas Junior yang baru 14 minit masuk menggantikan Andik mudah melepaskan sepakan kaki kiri dari luar kotak penalti yang tepat menuju ke penjuru gawang untuk gol kedua Selangor.

A Thamil Arasu turut meraih penampilan pertama bersama Selangor apabila masuk menggantikan Rangel pada minit ke-76.

Selangor selepas ini akan bertemu Lions XII untuk perlawanan kedua Liga Super di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

[match id=278]

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad, 18. P Rajesh, 4. Steve Pantelidis, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid, 13. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah (10. Junior Aparecido ’58), 23. S Veenod, 15. K Gurusamy (c) (24. Fittri Shazwan Raduwan ’56), 11. Hazwan Bakri, 14. Abdul Hadi Yahya, 9. Paulo Rangel (20. A Thamil Arasu ’76).

HARIMAU MUDA C: 22. Ahmad Syihan Hazmi, 19. Amirul Hafizul Samsol (5. Muhamad Fauzan ’73), 12. Raphi Azizan, 27. Adib Zainuddin, 9. K Kannan, 11. Adam Shafiq Fuaad, 8. Amirul Hisyam (c), 18. Awangku Hamirullizam (14. D Sanjef ’86), 13. Alif Haikal Sabri, 17. Arif Anwar (29. Sean Eugene Selvaraj ’78), 10. Jafri Firdaus.

Pengadil: Sukri Abd Rahman