Selangor mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi Piala Belia selepas menewaskan Perlis 3-0 di Stadium Kuala Selangor, petang tadi.

Tuan rumah yang mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas juara bertahan, Kelantan di Stadium USM, Kubang Kerian pada perlawanan sulung minggu lalu turun dengan semangat yang tinggi dan melancarkan serangan bertali-arus sejak sepak mula.

Bagaimanapun, gol pembukaan yang dicari hanya hadir di penghujung babak pertama menerusi sepakan percuma cantik oleh Mohamad Afiq Mohd Azam.

Dua gol lagi berjaya diperolehi di separuh masa kedua menerusi Muhammad Faizzudin Mohd Abidin (47) dan Muhammad Amirul Syafieq (64), masing-masing juga menerusi sepakan percuma.

Selepas dua perlawanan, anak-anak buah Noor Zaidi Rohmat kini menduduki tangga pertama kejohanan Piala Belia yang diadakan secara liga satu pusingan.