Persahabatan: Selangor 2-1 ATM

Skuad Liga Super Selangor berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan persahabatan di Stadium Mini TUDM, Subang, petang semalam.

Ia aksi persahabatan sulung skuad kendalian Mehmet Durakovic itu di tanah air selepas mencatat dua kemenangan 4-0 dan 3-0 ke atas South Melbourne pada siri latihan pra musim di Melbourne, Australia awal bulan ini.

Selangor mendahului 1-0 pada minit ke-30 selepas rembatan jarak jauh pemain import dari Brazil, Juninho atau nama sebenarnya, Junior Aparecido Guimaro de Souza gagal diselamatkan penjaga gol ATM, Syed Adney Syed Hussein.

Menuju waktu rehat, Selangor dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-43 selepas penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel dijatuhkan dan bekas pemain Perak musim lalu itu sendiri mudah menyudahkannya untuk menewaskan Adney.

Bersambung separuh masa kedua, Durakovic mula melakukan pertukaran demi pertukaran bagi menguji para pemainnya.

Selepas kapten Selangor, Bunyamin Umar dikeluarkan pada minit ke-60, lilitan lengan diberikan kepada pemain tengah, K Gurusamy.

ATM kendalian B Sathianathan akhirnya berjaya memecah kebuntuan selepas Marlon Alex James menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85 menewaskan penjaga gol gantian Selangor, Hamsani Ahmad untuk kedudukan 2-1.

Perlawanan turut menyaksikan dua bekas penyerang Harimau Muda A, Hazwan Bakri dan A Thamil Arasu melakukan penampilan sulung bersama Selangor selepas sehari mula menyertai sesi latihan pasukan.

Seorang lagi pemain import Selangor, Andik Vermansyah dari Indonesia pula dijangka mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain, Jumaat ini.

KOMEN MEHMET DURAKOVIC

Saya cukup gembira dengan kemenangan ke atas ATM ini. Para pemain beraksi mengikut arahan. Kami cuba bermain dengan corak permainan kami, melakukan hantaran dan pergerakan cukup baik. Setakat hari ini, saya gembira dengan prestasi semua pemain.

Untuk 45 minit pertama, saya cukup gembira dengan apa yang mereka persembahkan. Tapi pada separuh masa kedua, saya melakukan banyak pertukaran untuk beri peluang kepada semua pemain. Namun secara keseluruhan, ia tetap memuaskan.

Memandangkan Selangor perlu mengharungi banyak perlawanan musim 2014 ini termasuk perlawanan Liga Super dan Piala AFC, semestinya kalau boleh saya nak lebih ramai pemain.

Tapi apa boleh buat, ini yang kita ada dan kita kena buat dengan apa yang kita ada ini. Beraksi sebaik yang boleh secara bersama. Cuma saya harap tiada banyak kecederaan yang boleh mengganggu perjalanan pasukan.

Mengenai Hazwan dan Thamil, mereka berdua baru sehari bersama pasukan. Jadi saya beri mereka bermain lima ke sepuluh minit untuk memberikan mereka aksi. Setakat ini, nampak memuaskan.

SELANGOR: Farizal Marlias (Hamsani Ahmad ’62), Bunyamin Umar (c) (P Rajesh ’60), Steve Pantelidis (Rizal Fahmi Rosid ’45), Shahrom Kalam (A Thamil Arasu ’85), Azmi Muslim (Raimi Md Nor ’60), Fitri Shazwan Raduwan (Shazlan Alias ’62), K Gurusamy, Shukur Jusoh (Hazwan Bakri ’85), S Kunanlan (K Satish ’62), Juninho (Abdul Hadi Yahya ’60), Paulo Rangel (Afiq Azmi ’60).