Persahabatan: Selangor 0 Sevilla FC 2

Skuad Liga Super Selangor tewas 2-0 kepada kelab Liga Sepanyol, Sevilla FC pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam tadi bersempena kehadiran juara Liga Europa 2013/14 itu ke Indonesia dan Malaysia.

Kedua-dua gol Sevilla dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi Piotr Trochowski pada minit ke-30 dan Diogo Figueiras minit ke-45.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic mempertaruhkan barisan kedua untuk kesebelasan utamanya kecuali hanya empat pemain tonggak yang beraksi ketika tewas 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Liga Super di gelanggang sama, Sabtu lalu.

Mereka yang diturunkan itu ialah Steve Pantelidis, Rizal Fahmi Rosid, Azmi Muslim dan penyerang utama, Paulo Rangel.

Namun ia tidak merencatkan semangat Selangor yang hampir mengejutkan Sevilla seawal minit kelima tetapi tandukan Rangel berpunca daripada hantaran silang Abdul Hadi Yahya sempat ditepis penjaga gol lawan, Sergio Rico.

Tersentak dengan percubaan itu, Sevilla mula menyusun kembali permainan mereka dan akhirnya berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-30 selepas Trochowski melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad sekadar terpaku.

Sevilla hampir menambah jaringan, dua minit kemudian tetapi mujur Hamsani bertindak cemerlang menepis keluar percubaan dari depan pintu gol oleh Vicente Iborra berpunca daripada sepakan sudut.

Selangor pula sekali lagi berpeluang mendapatkan jaringan, namun hasil gerakan satu dua menarik, Azmi Muslim hanya berdepan penjaga gol Sevilla tetapi sekadar melepaskan sepakan kaki kanan yang tersasar ke kiri gawang lawan pada minit ke-41.

Tatkala permainan masa kecederaan separuh masa pertama menuju ke penghujungnya, Sevilla memperolehi gol kedua apabila Hamsani lambat menepis keluar hantaran silang bekas pemain Arsenal, Jose Antonio Reyes dari sebelah kiri untuk disambar Figueiras yang berjaya menanduk masuk bola ke gawang Selangor.

Ketinggalan 2-0, Durakovic memperkemas barisan pertahanannya dengan melakukan tiga pertukaran serentak sebaik separuh masa kedua bersambung dengan memasukkan Shahrom Kalam, P Rajesh dan S Kunanlan untuk menggantikan Pantelidis, Shazlan Alias dan Azmi.

Manakala jurulatih Sevilla, Unai Emery memasukkan dua pemain pertahanan, Fernando Navarro dan Israel Puerto menggantikan Federico Fazio dan Nico Pareja.

Sevilla sekali lagi berpeluang menambah jaringan tetapi pada minit ke-47, percubaan Antonio Cotan dari dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar Hamsani yang memakai lilitan lengan sebagai kapten kerana Bunyamin Umar tidak dapat diturunkan akibat kecederaan dialami selepas bertemu JDT.

Selepas itu, Durakovic melakukan beberapa lagi pertukaran termasuk memasukkan Farizal Marlias menggantikan Hamsani pada minit ke-53.

Deretan peluang diperolehi Selangor untuk merapatkan jurang gol namun pemain gantian, Andik Vermansah terlepas beberapa peluang terbaik termasuk sepakan percumanya yang ditepis keluar Rico pada minit ke-75.

Pada minit ke-89, seorang lagi pemain gantian, A Thamil Arasu berjaya meloloskan diri dalam kotak penalti Sevilla, namun rembatannya sedikit tinggi melepasi palang untuk kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Perlawanan malam tadi disaksikan kira-kira 25,000 penyokong Selangor yang tidak dikenakan sebarang bayaran masuk.

Sevilla terdahulu menewaskan Pelita Bandung Raya 4-0 pada aksi persahabatan pertama mereka di Bandung, Indonesia pada Khamis lalu selepas kelab itu menamatkan kempen Liga Sepanyol 2013/14 dengan menduduki tangga kelima.

Selangor pula kini akan berehat dua minggu sebelum kembali mengharungi perlawanan ke-18 Liga Super bertemu Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 10 Jun ini.

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad (c) (25. Farizal Marlias ’53), 2. Shazlan Alias (18. P Rajesh ’45), 4. Steve Pantelidis (5. Shahrom Kalam ’45), 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim (16. S Kunanlan ’45), 11. Hazwan Bakri (20. A Thamil Arasu ’72), 6. Shukur Jusoh (23. S Veenod ’65), 8. Nazmi Faiz Mansor, 24. Fittri Shazwan Raduwan (7. Andik Vermansah ’58), 14. Abdul Hadi Yahya, 9. Paulo Rangel (19. Afiq Azmi ’58).

SEVILLA FC: 25. Sergio Rico, 16. Modesto Acosta, 2. Federico Fazio (c) (3. Fernando Navarro ’45), 21. Nico Pareja (14. Israel Puerto ’45), 7. Moises Delgado, 10. Diogo Figueiras (23. Coke ’62), 8. Antonio Cotan, 12. Vicente Iborra, 19. Jose Antonio Reyes (20. Vitolo ’62), 15. Piotr Trochowski, 17, Jairo Samperio.

Pengadil: Nafeez Abd Wahab