Pemain import Selangor, Juliano Mineiro enggan terlalu bergembira dengan dua jaringannya ketika membantu skuad Red Giants itu menewaskan Kelantan 2-0 pada perlawanan keenam Liga Super 2017 di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Sebaliknya pemain kelahiran Brazil tetapi memiliki kewarganegaraan Timor-Leste itu mahu segera mengalih fokus untuk aksi lebih penting berdepan pendahulu liga, Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu ini.

“Sudah tentu saya berasa cukup teruja dan gembira kerana dapat menjaringkan dua gol pada perlawanan Sabtu lalu. Tapi apa yang lebih penting ialah untuk membantu pasukan mencatat kemenangan berbanding rekod jaringan peribadi.

“Cuma sekarang, kami tak perlu terlalu meraikan kejayaan menewaskan Kelantan itu kerana kami kini perlu segera fokus untuk berdepan pula Kedah, Rabu ini.

“Saya harap kami dapat terus mempamerkan aksi terbaik bertemu Kedah nanti dan cuba mendapatkan tiga mata penuh bagi menyamai jumlah mata yang dikutip Kedah ketika ini bagi memperbaiki kedudukan kami dalam liga,” kata Mineiro kepada faselangor.my, hari ini.

Dua gol dijaringkan Mineiro, 31, ketika aksi bertemu Kelantan, Sabtu lalu menjadikan jumlah keseluruhan tiga gol disumbangnya untuk Selangor setakat ini selepas turut menjaringkan satu gol ketika skuad Red Giants menewaskan Felda United 3-1 pada 17 Februari lalu.

Mineiro yang sudah empat kali beraksi dalam kesebelasan utama Selangor iaitu tiga aksi Liga Super bertemu JDT, Felda United dan Kelantan serta aksi pusingan kedua Piala FA bertemu Negeri Sembilan selepas membuat penampilan sulung ketika dimasukkan pada minit ke-54, aksi bertemu PKNS FC, 4 Februari lalu bagaimanapun mengakui masih terdapat banyak ruang yang perlu diperbaikinya.

“Kombinasi saya di barisan depan bersama Francis Forkey Doe, Victor Astafei, S Veenod dan juga Adam Nor Azlin nampak semakin baik.

“Cuma kami perlu sedikit demi sedikit mempertingkatkan lagi persembahan dan kombinasi di kalangan kami untuk menjadikan jentera depan Selangor lebih tajam pada perlawanan akan datang.

“Bagi saya, banyak lagi yang perlu saya perbaiki dan saya harap prestasi baik ditunjukkan ketika ini dapat diteruskan serta dipertingkatkan lagi dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” jelas Mineiro yang pernah beraksi bersama kelab Thailand, Chonburi FC.