Jurulatih Selangor, P Maniam enggan meletakkan tekanan tinggi terhadap anak buahnya untuk terus bersaing merebut kedudukan kelompok teratas Liga Super 2017, sebaliknya mahu mereka konsisten dalam meneruskan rentak yang ditampilkan setakat tujuh perlawanan liga setakat ini.

Dengan persiapan serba kekurangan pada awal musim ini selepas kehilangan ramai tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain, Selangor kini berjaya menghuni tangga ketiga Liga Super 2017 ketika ini meskipun ramai mulanya meramal skuad Red Giants musim ini bakal bergelut di zon penyingkiran.

Selepas berjaya mengikat JDT 0-0 di Larkin serta dua kemenangan berturut menewaskan Felda United 3-1 di Selayang dan Kelantan 2-0 di Kota Bharu, Selangor terus membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan lain yang serba lengkap musim ini apabila berjaya mengikat Kedah 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

“Bukan mudah berdepan dengan Kedah, salah satu antara pasukan terbaik musim ini yang memiliki barisan pemain berkualiti dengan kawalan permainan dan juga kombinasi cukup baik.

“Tapi kami berjaya bertahan dengan baik terutama boleh dilihat sepanjang babak kedua apabila Kedah tidak dapat mencipta banyak peluang. Gol diperoleh mereka pun adalah menerusi sepakan percuma.

“Bagi saya, satu mata yang diraih Selangor ini umpama kami berjaya mengutip tiga mata kerana kami berjaya bangkit selepas ketinggalan dan nampak para pemain beraksi dengan bersungguh-sungguh.

“Jadi kami berhak untuk meraih satu mata pada perlawanan ini,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Pada aksi malam tadi, Kedah mendahului menerusi sepakan percuma Sandro Da Silva pada minit ke-81 sebelum Juliano Mineiro menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-95 apabila menyudahkan bola tampanan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim selepas menyelamatkan sepakan penalti Victor Astafei.

Selepas tujuh perlawanan, Pahang kini di tangga teratas Liga Super 2017 dengan 16 mata diikuti Kedah 15 mata dan Selangor 12 mata.

“Dengan pihak pengurusan meletakkan sasaran awal kepada saya supaya pasukan ini tidak turun ke Liga Premier musim depan, jadi saya tak mahu mengatakan apa-apa mengenai sasaran buat masa ini biarpun kami kini di kedudukan tiga teratas liga.

“Apa pun setakat tujuh perlawanan ini, kami dapat melakukan yang terbaik dan hanya perlu meneruskan rentak seperti ini untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang,” jelas Maniam.

Ditanya adakah Selangor akan terus menggunakan pendekatan taktikal permainan secara bertahan setiap kali berdepan pasukan kuat seperti ketika berdepan JDT dan Kedah, Maniam berkata, tempoh rehat lima minggu selepas aksi bertemu Perak di Selayang, Sabtu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memantapkan pasukan.

“Sudah tentu dengan tempoh masa persiapan yang singkat sebelum ini, kami hanya dapat mempersiapkan pasukan seperti ini. Tapi selepas ini kami akan berehat selama sebulan dan kami mempunyai masa.

“Mungkin pada waktu itu, kami perlu bermain dengan corak permainan yang berbeza. Semua ini adalah berkaitan dengan latihan dan proses pembelajaran. Jadi para pemain perlu cepat belajar menyesuaikan diri dengan corak permainan diterapkan nanti,” ujar Maniam.

Selepas bertemu Perak, Sabtu ini, Selangor yang tidak terlibat dengan aksi pusingan ketiga Piala FA pada 11 Mac akan menyambung aksi untuk perlawanan kesembilan Liga Super bertemu Sarawak di Stadium MP Selayang pada 8 April.