Jurulatih Selangor, P Maniam enggan terlalu berasa kecewa apabila pasukannya gagal membawa pulang tiga mata penuh dari Kuantan selepas diikat 2-2 oleh Pahang pada perlawanan ke-10 Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

“Saya tetap berasa puas hati kerana berdepan pasukan kuat seperti Pahang, kalau boleh kami mahu bawa pulang satu mata sebab kami beraksi di tempat lawan.

“Selepas mendahului 2-1, saya rasa kami sepatutnya boleh menang perlawanan ini tetapi kadang kala ini berlaku dalam bola sepak apabila kami dibolosi gol penyamaan lawan pada minit terakhir.

“Apa pun sasaran kami adalah untuk mencuri satu mata dan malam ini kami berjaya membawa pulang satu mata,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Dua kali mendahului menerusi jaringan Juliano Mineiro pada minit ketujuh dan sepakan penalti Francis Forkey Doe minit ke-66, Pahang dua kali juga berjaya menyamakan kedudukan menerusi Matthew Davies pada minit ke-11 dan Faisal Rosli minit ke-88.

“Saya tak nampak sebarang kelemahan dalam pasukan kami pada malam ini. Nampak para pemain bermain dengan begitu bersemangat tinggi dan kami juga berjaya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya cukup gembira dengan persembahan para pemain Selangor pada perlawanan ini,” jelas Maniam.