Jurulatih Selangor, P Maniam menyifatkan kad merah kepada pemain pertahanannya, Ugochukwu Ukah dan sepakan penalti disempurnakan Zaquan Adha Abd Radzak telah mengubah permainan yang menyaksikan skuadnya tewas 1-0 kepada Perak pada aksi kelapan Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

“Saya rasa, babak pertama kami tidak beraksi dengan baik. Tapi pada babak kedua, kami bangkit dengan baik dan nampak banyak perkara positif dilakukan apabila kami mula mencipta peluang dan momentum sudah kelihatan.

“Tapi sudah tentu apabila Ukah dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah dan Perak pula dihadiahkan sepakan penalti dalam insiden itu, ia telah mengubah permainan.

“Biarpun beraksi 10 pemain untuk baki tempoh 25 minit terakhir, saya dapat lihat para pemain tetap menunjukkan karakter yang baik terutama pemain senior seperti Razman Roslan dan Bunyamin Umar serta Syahmi Safari. Mereka tetap bekerja keras dan saya gembira dengan persembahan para pemain,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Pengendali berusia 49 tahun itu bagaimanapun mengakui ketiadaan penyerang utama, Francis Forkey Doe untuk dua perlawanan berturut diharungi Selangor akibat kecederaan hamstring ketika bertemu Kelantan, jelas menjejaskan barisan depannya terutama dalam mencari sentuhan penyudah.

“Kita boleh lihat, tanpa Forkey Doe, pemain lain yang saya letak untuk mengisi tempatnya masih gagal memberikan impak dalam menghasilkan gol.

“Nurshamil Abd Ghani dan Adam Nor Azlin memberikan komitmen yang baik dan menunjukkan sedikit tanda-tanda positif bagi mengisi ketiadaan Forkey Doe, namun sudah tentu penyerang import mampu memberikan perbezaan. Tapi setakat ini, saya puas hati dengan persembahan Nurshamil dan Adam,” jelas Maniam.

Dalam pada itu, Maniam turut berasakan masih terlalu awal untuk membicarakan soal keluar masuk pemain pada pintu perpindahan kedua, sebaliknya mahu fokus memperkasakan skuad sedia ada ketika ini.

“Saya rasa itu masih terlalu awal. Kami perlu masa untuk membuat keputusan dan berbincang dengan pengurusan tertinggi.

“Tapi sudah tentu dengan pemain yang saya ada ketika ini, kami perlu berusaha dan bekerja sebagai satu pasukan, itu yang lebih penting. Rehat sebulan ini akan kami gunakan untuk mempersiapkan pasukan ke satu tahap lebih baik,” tegas Maniam.