Paste your Google Webmaster Tools verification code here

Maniam: Hadiah buat Presiden, Exco baharu FAS & penyokong setia

Jurulatih Selangor, P Maniam memuji komitmen tinggi ditunjukkan barisan pemainnya untuk mereka berjaya meraih kemenangan kedua berturut dalam saingan Liga Super 2017 selepas menundukkan Kelantan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Malah tiga mata penuh diraih di tempat lawan itu turut dihadiahkan kepada Dato’ Sri Subahan Kamal yang telah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu pada kongres luar biasa (EGM) persatuan, Khamis lalu.

“Kita boleh nampak pemain-pemain Selangor telah memberikan satu komitmen yang tinggi dalam perlawanan ini.

“Bukan mudah berdepan Kelantan di gelanggang mereka ini. Bagi saya, keputusan yang baik dengan kemenangan 2-0 di tempat lawan ini.

“Kelantan tetap beraksi dengan baik terutama gerakan daripada Mohammed Ghaddar dan Indra Putra Mahayuddin di barisan serangan tetapi kami berjaya bertahan dengan baik sambil serangan balas yang menghasilkan dua gol.

“Sudah tentu pujian kepada para pemain Selangor yang telah beraksi begitu baik dan kami juga menghadiahkan tiga mata penuh ini kepada presiden baharu kami, Dato’ Sri Subahan Kamal serta barisan pengurusan baharu FAS. Tidak lupa juga buat penyokong setia Merah Kuning khususnya yang datang ratusan kilometer untuk hadir bersama di stadium, malam ini,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Pada aksi malam tadi, dua jaringan menerusi pemain import dari Timor-Leste, Juliano Mineiro pada minit ke-4 dan ke-63 sudah cukup untuk meletakkan Selangor kini di tangga ketiga Liga Super 2017 selepas enam perlawanan dengan 11 mata, di belakang pendahulu, Kedah dengan 14 mata dan Pahang 13 mata.

“Sudah tentu, gol awal itu menjadi detik yang mengubah permainan Selangor apabila pemain kami lebih bermotivasi untuk memastikan gawang tidak dibolosi sambil mengekalkan permainan sehingga tamat perlawanan,” jelas Maniam.

Menjelang aksi seterusnya bertemu Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu ini, Maniam akan memantau tahap kecergasan Francis Forkey Doe selepas penyerang import dari Liberia itu terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-20 apabila mengalami kecederaan paha.

“Kami masih mempunyai sehari dua ini untuk menilai tahap kecederaannya itu. Selepas itu baru kami akan membuat keputusan sama ada meletakkan Adam Nor Azlin atau Saiful Ridzuwan Selamat dalam kesebelasan utama berdepan Kedah bagi mengisi ketiadaan Forkey Doe,” ujar Maniam.